Pada peranti Android, terdapat ciri yang memudahkan pengguna menguruskan pelan data mudah-alih mereka dengan mudah – tanpa keperluan memuat-turun sebarang aplikasi tambahan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ia tidak diaktifkan oleh sejumlah syarikat telekomunikasi.
Hal berkenaan berubah hari ini, apabila Digi hari ini mengumumkan mereka telah memulakan ujian rintis untuk membolehkan pengguna peranti Android menguruskan penggunaan data mereka terus melalui tetapan pada peranti Android.
Bagi pengguna peranti berasaskan sistem Android 4.0 dan terkini, serta menggunakan kad Digi, anda akan dapat melihat tetapan baru dinamakan “Mobile Data Plan” pada halaman tetapan. Anda kemudiannya boleh mengakses halaman berkenaan – melihat penggunaan data anda, selain membuat pembelian data tambahan terus melaluinya.
Buat masa ini, ia masih pada peringkat ujian, dan diperkenalkan kepada semua pengguna Digi secara berperingkat. Anda mungkin akan dapat melihat tetapan ini pada peranti Android 4.0 dan terkini anda dalam masa terdekat ini.