Carian
Komputer Riba Lenovo Legion Y740 Dan Y540 Dilancarkan Dengan GPU GeForce RTX
January 8, 2019 Effi Saharudin

Selari dengan pengumuman kad grafik NVIDIA GeForce siri RTX 2000 versi komputer riba Isnin lalu, Lenovo turut tampil dengan tiga model bahari komputer riba untuk permainan video Legion siri Y mereka. Di CES hari ini Legion Y740 dan Legion Y540 kini dilengkapi kad grafik sehingga GeForcce RTX  2080.

Legion Y740 hadir dalam dua versi iaitu skrin 17″ dan 15.6″ dengan resolusi HD penuh serta kadar segar semula 144Hz. Skrin ini turut menyokong paparan Dolby Vision HDR dengan keterangan maksimum 300 nits dan NVIDIA G-Sync. Ia turut dijana pemproses sehingga Intel Core0-i7-8750, kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q, memori sehingga 32GB DDR4 RAM, storan SSD sehingga 512GB PCIe NVMe dan storan HHD sehingga 2TB.

Dari segi rekaan ia masih lagi mengekalkan rekaan Legion Y730 yang diperkenalkan Jun tahun lalu. Oleh itu majoriti I/O utama seperti HDMI, mini DP, USB-C Thunderbolt 3, USB-A dan LAN terletak pada bahagian belakang. Papan kekunci yang disertakan adalah berlampu dengan sistem RGB Corsair iCUE yang menyokong paparan sehingga 16 juta warna. Melengkapi spesifikasi ialah sistem pembesar suara Dolby Atmos dan bateri empat sel sebesar 76 Wh.

Legion Y540 pula hadir dengan skrin 15.6″ HD penuh dengan kadar segar semula sehingga 144Hz, pemproses terkini Intel Core, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 memori sehingga 32GB DDR4, storan SSD sehingga 512GB PCIe atau storan HDD sehingga 2TB. Pilihan I/O adalah sama dengan Y740 cuma tanpa USB-C Thunderbolt 3. Pembesar juga hanya sekadar ditala oleh Harman Kardon serta papan kekunci yang berlampu putih sahaja. Akhir sekali bateri yang disertakan adalah sebesar 57 Wh,

Legion Y740 17 akan mula dijual bermula Februari 2019 dengan harga bermula dari $1980 (~RM 8150) manakala Y740 15 pula pada harga bermula $1750 (~RM 7200) sebuah. Lenovo Y540 akan mula dijual pada Mei 2019 pada harga bermula dari $930(~RM 3830) sebuah.

Komen