Lenovo Yoga S940 Hadir Dengan Skrin Sisi Melengkung Seakan Telefon Pintar

Lenovo Yoga S940 Hadir Dengan Skrin Sisi Melengkung Seakan Telefon Pintar

Diterbitkan pada Jan 9, 2019 oleh .

Komputer riba kategori nipis dan ringan adalah yang paling popular di pasaran. Ia digemari kerana tidak membebankan bahu tetapi masih boleh diandalkan untuk tugasan ringan di pejabat. Dengan Lenovo Yoga S940 yang dilancarkan sebentar tadi, sebuah lagi komputer riba ringan kini ditawarkan kepada umum.

Lenovo Yoga S940 dilengkapi skrin 14″ 4K dengan sokongan Dolby Vision, dijana sehingga cip Intel Core-i7, memori sehingga 16GB LPDDR3 dan storan SSD sehingga 1TB. Bateri yang disertakan boleh membekalkan kuasa sehingga 15 jam dengan sekali caj. Sistem audio Dolby Atmos disertakan sama seperti beberapa komputer riba lain yang dilancarkan oleh Lenovo di CES. Skrin Yoga S940 menarik kerana mempunyai sisi melengkung yang selama ini ditemui pada telefon pintar seperti Galaxy Note 9. Ini memberikan ia ilusi seperti sebuah skrin tanpa bezel.

Pilihan I/O adalah 2 USB-C Thunderbolt, 1 USB-C 3.1 dan satu bicu audio. Terdapat kamera infra merah yang menyokong imbasan wajah Windows Hello. Dengan sistem sekuriti Lenovo Smart Assist, kamera yang sama oleh mengesan jika skrin pengguna dipandang oleh insan lain. Skrin akan digelapkan atau dikunci apabila ini berlaku. Komputer riba ini hanya setebal 12.2mm dan seberat 1.2 kg. Lenovo Yoga S940 akan mula dijual bermula Mei pada harga bermula $1500 (~RM 6170) sebuah.


TIPS & ULASAN