Alienware Area 51 M – Laptop Gaming Dengan Rekaan Modular Yang Membolehkan Pengguna Menukar Pelbagai Komponen

Alienware Area 51 M – Laptop Gaming Dengan Rekaan Modular Yang Membolehkan Pengguna Menukar Pelbagai Komponen

Diterbitkan pada Jan 10, 2019 oleh .

Jika Acer akhirnya memperkenalkan laptop Acer Predator Triton 900, dan ASUS menunjukkan ASUS ROG Mothership di acara CES 2019, Alienware nampaknya tidak ketinggalan dengan laptop gaming gergasi mereka, iaitu Alienware Area 51 M, yang hadir dengan sebuah konsep yang menarik.

Salah satu masalah apabila membeli sebuah komputer riba gaming ialah komponen-komponen laptop tersebut akan menjadi ketinggalan satu hingga dua tahun selepas ia dikeluarkan. Dengan Alienware Area 51 M, Alienware telah membina sebuah laptop yang hadir dengan rekaan dimana pengguna boleh mengubahsuai semua komponen-komponen yang hadir di dalamnya.

Ini termasuklah storan, memori, cip pemprosesan dan juga kad grafik. Laptop Alienware Area 51 M ini hadir dengan pelbagai konfigurasi, termasuklah CPU Intel generasi kelapan dan kesembilan, memori DDR4, storan SSD dan juga kad grafik rekaan Max-Q terbaru daripada NVIDIA.

Dari segi paparan, laptop Alienware Area 51 M ini hadir dengan paparan 17 inci yang mempunyai kadar segar semula 144Hz dan juga rekaan bezel yang nipis.

Storan dan memori adalah sesuatu yang boleh diubah dengan mudah walaupun sebelum ini, tetapi CPU yang digunakan di dalam laptop ini adalah CPU kelas desktop, manakala Dell menggunakan kad grafik dengan rekaan baru yang dinamakan DGFF ataupun Dell Graphics Form Factor yang lain daripada yang lain, dan ini membenarkan kad grafik tersebut ditukar oleh pengguna.

Buat masa ini, pihak Alienware berkata bahawa kad grafik yang hadir di dalam rekaan ini termasuklah NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q, RTX 2070 Max-Q dan RTX 2080 Max-Q. Apabila ditanya mengenai kehadiran kad grafik DGFF di masa akan datang, mereka masih tidak pasti.

Laptop Alienware Area 51 M ini akan hadir di pasaran dunia bermula 29 Januari kelak dengan tanda harga permulaan $2599 (~RM10,200) yang dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 8GB  dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 Max-Q.


TIPS & ULASAN