Penghujung tahun 2018 dan awal tahun 2019 memperlihatkan banyak jenama komputer riba yang hadir dengan peranti-peranti yang padat, tetapi hadir dengan komponen dan prestasi yang cukup berkuasa.
ASUS adalah diantara jenama-jenama tersebut, dan mereka cukup terkenal dengan peranti komputer riba yang memenuhi kedua-dua ciri ini.
Terkini, mereka baru sahaja melancarkan siri laptop ASUS ZenBook terbaru yang hadir dengan tiga saiz paparan berbeza yang memenuhi keperluan anda dan juga prestasi yang cukup berkuasa sekali.
Spesifikasi
ASUS ZenBook 13 UX333 | ||
---|---|---|
Skrin | 13.3 inci Full HD | |
Pemproses | Intel Core i7-8565U | |
RAM | 8 Gigabyte DDR4 | |
Muatan Dalaman | SSD 512GB | |
Kamera | 3D IR HD | |
USB | USB 3.0 x2, USB 2.0 x1 | |
HDMI | Ada | |
Pembaca Kad | MicroSD | |
Kad Grafik | NVIDIA GeForce MX150 | |
Harga Jualan | RM4999 |
Seperti yang kami katakan sebelum ini, komputer riba ASUS ZenBook UX333 ini hadir melalui tiga model yang berbeza, iaitu ASUS ZenBook 13, ASUS ZenBook 14 dan ASUS ZenBook 15. Model yang dihantar kepada kami untuk diulas ialah model dengan saiz paparan terkecil, iaitu ASUS ZenBook 13 UX333, dan ia sangat sesuai sekali sebagai sebuah laptop padat yang boleh dibawa kemana-mana.
ASUS ZenBook 13 yang dihantar kepada kami hadir dengan paparan skrin bersaiz 13 inci dengan resolusi 1920×1080, dan dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-8565U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD PCIe sebesar 512GB.
Apa yang lebih menarik disini ialah laptop serba kecil ini juga dilengkapi dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce MX150 yang sedikit lebih baik berbanding dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris yang terbina di dalam CPU.
Dari segi I/O, ASUS ZenBook 13 ini dilengkapi dengan palam yang cukup banyak untuk sebuah komputer riba bersaiz padat. Ia mempunyai dua palam USB 3.0 Type-A, sebuah palam USB 3.0 Type-C, sebuah palam HDMI, sebuah palam audio 3.5mm dan sebuah pembaca kad MicroSD.
ASUS turut mengekalkan kerjasama mereka dengan Harman Kardon untuk memperbaiki teknologi audio SonicMaster mereka, dengan pembesar suara stereo dipasang di bahagian bawah sisi kiri dan kanan komputer riba ini.
Rekaan
Pada pendapat kami, rekaan komputer riba ASUS ZenBook 13 UX333 ini merupakan aspek yang paling mengagumkan untuk siri ASUS ZenBook ini. Banyak pembina peranti komputer riba mengatakan mereka mempunyai paparan nirbingkai ataupun hampir nirbingkai, tetapi kebanyakan daripadanya hanya mempunyai rekaan nirbingkai pada dua ataupun tiga sisi sahaja.
Dengan siri laptop ASUS ZenBook ini, ASUS telah memperbaiki lagi teknologi paparan nirbingkai NanoEdge mereka untuk membawa rekaan hampir nirbingkai ke keempat-empat sisi yang membolehkan ASUS ZenBook ini hadir dengan ratio skrin ke badan setinggi 95 peratus yang memaksimakan saiz paparan ini sebanyak yang mungkin.
Komputer riba ASUS ZenBook UX333 ini juga boleh kami katakan diantara peranti yang ternipis dan ringan pernah kami gunakan setakat ini.
Ia senipis 16.9mm dan mempunyai berat 1.09kg sahaja, dan dari segi saiz keseluruhan, ia lebih kecil daripada sehelai kertas A4 dan 14 peratus lebih kecil berbanding dengan model ZenBook 13 sebelum ini.
Ini membuatkan ASUS ZenBook 13 ini sebuah peranti yang cukup sesuai sekali untuk dibawa kemana-mana, tidak kira untuk kerja ataupun riadah.
Kualiti binaan rangka ASUS ZenBook 13 UX333 ini juga sangat berkualiti tinggi. Casis bahagian paparan komputer riba ini diperbuat daripada aluminium, manakala casis bahagian bawah pula diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tahan lasak.
Ini adalah kerana laptop ini juga disahkan MIL-STD-810G, bermakna ia tahan lasak, tahan haba, sejuk, debu dan sebagainya. Jika anda seorang yang sering ke kawasan-kawasan yang mempunyai tahap debu dan haba yang tinggi, komputer riba ini pilihan yang cukup baik untuk anda.
Ciri-Ciri
Selain daripada rekaan nipis dan ringan, komputer riba ASUS ZenBook 13 UX333 ini hadir dengan beberapa ciri-ciri lain yang diambil daripada model-model lain sebelum ini yang mempertingkatkan lagi pengalaman pengguna apabila mereka menggunakan komputer riba ini.
Ergolift merupakan salah satu daripada ciri-ciri ini, dimana bahagian paparan laptop ini dijadikan engsel yang mengangkat sedikit bahagian belakang laptop ini untuk meningkatkan keselesaan menaip, disamping membolehkan udara panas dialirkan keluar daripada komputer riba dengan lebih cekap.
Selain dari itu, satu lagi ciri yang hadir pada siri laptop ASUS ZenBook ini ialah ciri NumberPad dimana pad sesentuh komputer riba ASUS ZenBook ini boleh bertukar menjadi numpad bagi mereka yang lebih biasa memasukkan nilai angka menggunakan aksesori tersebut,
Pengguna hanya perlu menekan sebuah butang di bahagian sudut atas bahagian kiri pad sesentuh untuk mengaktifkan mod NumberPad, dan menekannya sekali lagi untuk menukarnya kembali ke mod pad sesentuh.
Bagi saya yang sering menggunakan numpad pada papan kekunci komputer saya untuk memasukkan nilai angka, ciri NumberPad ini sangat dialu-alukan kerana saya boleh memasukkan angka tanpa perlu melihat bahagian pad tersebut.
Akan tetapi, satu aduan yang saya ada mengenai ciri ini ialah saya perlu mengingatkan diri untuk menutupnya jika tidak menggunakannya, kerana apabila saya menaip, seringkali jari-jemari saya akan menyentuh bahagian numpad tersebut dan memasukkan angka secara tidak sengaja.
Pengalaman Pengguna
Saya sempat menggunakan komputer riba ASUS ZenBook 13 UX333 ini selama seminggu, dan pada pendapat saya, ia adalah salah satu daripada laptop padat yang paling ringan dan berkuasa yang pernah saya gunakan.
Gabungan CPU Intel Core i7-8565U dan kad grafik NVIDIA GeForce MX150 membolehkan saya melakukan pelbagai tugasan dan aktiviti tanpa sebarang masalah.
Tidak kira jika saya sedang menulis artikel, ataupun menonton video di YouTube dan Netflix, ataupun bermain permainan komputer seperti Diablo 3 atau Cuphead, komputer riba ASUS ZenBook 13 UX333 ini membenarkan saya melakukan semuanya.
Malah, gabungan komponen-komponen ini dengan storan SSD PCIe 512GB memastikan saya tidak kehabisan storan tidak kira berapa banyak gambar ataupun video saya ambil dan simpan di dalam laptop ini, dan saya boleh mengaksesnya dengan pantas.
Saiz padat komputer riba ini juga bermakna saya boleh membawanya kemana-mana untuk menulis artikel tanpa perlu risau akan sakit belakang seperti ketika saya membawa komputer-komputer riba yang lebih besar dan berat.
ini juga bermakna saya boleh menulis di lokasi-lokasi dimana ruang tidaklah begitu banyak, seperti lokasi acara yang menggunakan meja-meja berdiri yang kecil ataupun kerusi-kerusi biasa sahaja.
Sistem penyejukan ASUS ZenBook 13 ini juga menjalankan tugas dengan sangat baik kerana ia bukan sahaja memastikan komputer riba ini kekal sejuk, tetapi juga melakukannya dengan senyap.
Malah, satu-satunya waktu apabila kipas-kipas laptop ini berputar dengan laju ialah apabila kami menggerakkan permainan komputer seperti yang dinyatakan diatas, dan walaupun begitu, ia masih tidak begitu panas mahupun bising.
Dari segi bateri pula, dalam pengalaman saya ASUS ZenBook 13 ini mampu bertahan selama tujuh hingga lapan jam dengan satu pengecasan penuh.
Seperti biasa, tetapan yang akan saya gunakan untuk tugasan-tugasan di luar adalah kecerahan skrin sebanyak 50 peratus, tetapan Battery Saver, dan menggunakan WiFi untuk sambungan ke Internet.
Tetapan ini membekalkan komputer riba ini bateri yang mencukupi untuk penggunaan seharian, dan ini membolehkan saya melakukan semua tugasan-tugasan seharian saya tanpa perlu bergantung kepada adapter kuasa.
Ciri NumberPad yang diperkenalkan pada ZenBook 13 ini juga sangat berguna buat saya kerana saya lebih gemar memasukkan nombor menggunakan numpad berbanding dengan kekunci nombor di bahagian atas papan kekunci.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ciri Number Pad ini hadir melalui pad sesentuh komputer riba ZenBook 13 ini, dan ia boleh diaktifkan dengan menekan butang di penjuru atas kiri pad sesentuh tersebut, dan ia akan diaktifkan secara terus. Ciri Number Pad ini juga sensitif dan anda hanya perlu menyentuh nombor-nombor untuk diinput ke komputer.
Kekurangan
Jujur saya katakan bahawa komputer riba ASUS ZenBook 13 ini tidak mempunyai kekurangan yang ketara yang boleh saya utarakan. Dari saiznya yang padat, rekaan paparan skrin yang hampir nirbingkai dari semua sisi dan juga komponen-komponen yang digunakan di dalam komputer riba ini semuanya cukup bagus sekali.
Jika saya perlu mencari juga kesalahan pada laptop ASUS ZenBook 13 ini, ia mungkin daripada janji ASUS yang mengatakan bahawa laptop ini mempunyai jangka hayat bateri selama 14 jam.
Sewaktu penggunaan saya sepanjang dua minggu sebelum ulasan ini ditulis, saya biasanya akan mendapat jangkahayat bateri selama sembilan jam, yang pada pendapat saya masih sangat tinggi, tetapi masih 4-5 jam meleset dari apa yang dijanjikan oleh ASUS.
Jika anda seorang yang sudah biasa dengan saiz papan kekunci yang besar, anda mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan papan kekunci komputer riba ini, yang lebih padat daripada biasa, terutamanya dengan beberapa kekunci di bahagian kiri yang lebih kecil dari biasa.
Dalam pada itu, sama seperti banyak laptop dan tablet dengan rekaan padat kebelakangan ini, ZenBook 13 hadir dengan pembaca kad MicroSD, dan bukan kad SD. Mungkini keputusan ini adalah untuk mengekalkan rekaan komputer riba yang serba nipis, tetapi kad SD masih lebih banyak digunakan berbanding dengan MicroSD.
ASUS ZenBook 13 ini mempunyai palam USB Type-C, tetapi sayangnya ia tidak boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini. Bagi saya ini salah satu daripada kekurangan yang paling ketara pada laptop ini, kerana pengguna boleh menggunakan power bank untuk mengecas komputer riba ini melalui kabel USB-C dengan mudah.
Patutkah Saya Membelinya?
Bergantung kepada keperluan anda, komputer riba ASUS ZenBook 13 UX333 ini hadir dengan dua spesifikasi CPU yang berbeza. Satu lagi model dilengkapi dengan CPU Intel Core i5-8265U, tetapi mempunyai memori, storan dan kad grafik yang sama.
Jika anda lebih gemar menggunakan laptop yang mempunyai paparan yang lebih besar, tetapi masih mahukan rekaan yang sama, ASUS juga turut hadir dengan dua model ASUS ZenBook lain, iaitu ASUS ZenBook 14 dan ASUS ZenBook 15.
Perbezaan paling ketara diantara ketiga-tiga laptop ini ialah ZenBook 15 merupakan satu-satunya komputer riba yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Max-Q yang boleh digunakan untuk mengekod video ataupun bermain permainan komputer yang ringan.
Laptop ASUS ZenBook 14 pula hadir dengan satu model, iaitu CPU Intel Core i5-8265U, memori DDR4 sebanyak 8GB, storan SSD PCIe sebanyak 512GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce MX150.
Penutup
Pada pendapat saya, jika anda memerlukan sebuah laptop berkualiti tinggi dan bersaiz padat yang boleh digunakan untuk membuat kerja-kerja pejabat dimana-mana lokasi tanpa perlu risau mengenai jangkahayat bateri.
Perbezaan harga diantara kedua-dua model tidaklah begitu besar. Model dengan CPU Intel Core i5 dijual pada harga RM4499, manakala model CPU Intel Core i7 pula berharga RM4999. Perbezaan dari segi prestasi untuk kedua-dua CPU ini tidaklah begitu berbeza, tetapi jika anda lebih selesa menggunakan cip pemprosesan yang lebih berkuasa, anda mempunyai pilihan tersebut.
Pro Dan Kelebihan
- Rekaan padat
- Spesifikasi berkuasa
- Storan besar dan mencukupi
- Paparan nirbingkai
- Palam input yang mencukupi
- Kehadiran ciri numpad digital
Kontra Dan Kekurangan
- Jangkahayat bateri tidak selama yang dijanjikan
- Ketiadaan pembaca kad SD