Kali terakhir AMD melancarkan siri kad grafik berkuasa tinggi mereka, AMD Radeon RX Vega ialah pada bulan Ogos 2017. Semenjak itu, kesemua pelancaran kad grafik mereka hanya hadir melalui kemaskini siri kad grafik siri lama, hinggalah hari ini.
Di acara CES 2019 yang sedang berlangsung di Las Vegas, Dr. Lisa Su, CEO AMD telah mengumumkan kad grafik terbaru mereka yang dinamakan AMD Radeon VII, iaitu kad grafik gaming pertama yang menggunakan cip pemprosesan grafik 7nm dan akan memfokuskan kepada kebolehan gaming pada resolusi 4K.
Cip pemprosesan yang digunakan oleh kad grafik ini dikatakan GPU Vega generasi kedua yang dibina menggunakan proses 7nm baru. Ia dikatakan 25 peratus lebih berkuasa daripada kad grafik RX Vega 64 sebelum ini, dan hanya menggunakan jumlah tenaga elektrik yang sama. Kad grafik ini juga dilengkapi dengan memori HBM2 sebanyak 16GB.
Sewaktu acara pengumuman AMD, sebuah demo Devil May Cry 5 versi PC juga ditunjukkan di atas pentas, dan ia digerakkan pada resolusi 4K dan kadar bingkai 60FPS. Walaupun begitu, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa ia hanyalah rakaman video semata-mata, dan prestasi sebenar kad grafik ini masih belum diperlihatkan lagi.
Kad grafik AMD Radeon VII ini dijangka akan memasuki pasaran dunia pada Februari 7 untuk $699 (~RM2800), dan disamping itu, AMD juga akan menyertakan permainan komputer Devil May Cry 5 dan Resident Evil 2 dengan setiap pembelian kad grafik ini.