Disamping pelancaran kad grafik AMD Radeon VII yang dibina menggunakan teknologi 7nm, AMD turut mengumumkan kehadiran CPU AMD Ryzen generasi ketiga yang menggunakan proses teknologi yang sama.
Walaupun butiran khusus mengenai CPU Ryzen generasi ketiga ini masih lagi samar-samar, apa yang diketahui sekarang ialah ia dibina menggunakan proses 7nm yang membolehkan AMD merumahkan transistor yang lebih banyak didalam CPU terbaru ini.
Untuk menunjukkan kebolehan CPU ini, AMD menjalankan ujian penanda aras Cinebench dengan CPU Ryzen generasi ketiga ini pada kelajuan asas, bertanding dengan CPU Intel yang paling berkuasa sekarang, iaitu Intel Core i9-9900K, dan ia mampu bersaing dengannya dari segi prestasi, sambil menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah.
Apa yang lebih menarik lagi ialah CPU AMD Ryzen generasi ketiga ini masih lagi menyokong soket AM4 yang diperkenalkan dua tahun yang lalu apabila CPU AMD Ryzen ini diperkenalkan buat pertama kalinya.
CPU AMD Ryzen generasi ketiga ini akan diperkenalkan secara rasmi pada pertengahan tahun 2019, kemungkinan besar di acara COMPUTEX Taipei apabila AMD akan membuat pengumuman besar-besaran seperti tahun-tahun sebelum ini.