Cari @ Amanz

Samsung hari ini telah meneruskan pengenalan produk baru mereka bersempena CES 2019. Menariknya, pada hari ini, Samsung memperkenalkan siri robot mereka yang dinamakan sebagai Samsung Bots.

Samsung mengatakan Samsung Bots menggunakan kelebihan platform kecerdasan buatan Bixby, selain pelbagai perkakasan dan rekaan antaramuka dalam usaha menawarkan pengguna kemudahan dalam kehidupan harian – terutamanya berkaitan kesihatan dan persekitaran.

Tiga robot yang diperkenalkan dibawah siri ini adalah Samsung Bot Care, Samsung Bot Air dan juga Samsung Bot Retail.

Samsung Bot Care membantu pengguna dalam rutin kehidupan harian – termasuk memantau tekanan darah, denyutan nadi, pernfasan dan sebagainya. Ia juga boleh memberikan peringatan kepada pengguna untuk makan ubat, selain menghubungi ahli keluarga lain sekiranya mempunyai kecemasan. Selain berkenaan kesihatan, Samsung Bot Care turut boleh memberikan info berkaitan cuaca, info harian, memainkan lagu, dan sebagainya.

Samsung Bot Air pula merupakan robot yang memantau kebersihan udara persekitaran. Ia boleh mengenal-pasti udara persekitaran, dan membersihkan udara di lokasi yang memerlukannya.

Dan akhir sekali, Samsung Bot Retail adalah robot yang ditujukan untuk pekedai, dimana ia boleh mengenal-pasti wajah pengguna dan suara mereka, seterusnya menawarkan bantuan untuk membawa pelanggan ke bahagian yang sepatutnya. Samsung mengatakan ia turut boleh membantu di restoran untuk menghantar makanan.

Samsung sekadar mempertontonkan sahaja buat masa ini. Mereka mengatakan ini adalah titik permulaan, dan Samsung merancang untuk membangunkan robot yang disesuaikan untuk pengguna melalui platform robotik dan AI mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd