Rekaan Samsung Galaxy S10 telah tertiris sebelum ini tetapi bukan dari imej pengolokan rasmi. Hari ini Samsung telah menerbitkan artikel mengenai One UI mereka menerusi laman Samsung Newsroom. Menarik sekali di dalamnya imej peranti dengan skrin berlubang pada bucu atas kanan dilampirkan. Ini mengesahkan rekaan hadapan Galaxy S10 yang akan dilancarkan pada 20 Februari kelak.
Selepas menyedari kesilapan mereka. Imej di dalam artikel telah diubah dengan rekaan hadapan peranti yang lebih generik tanpa skrin berlubang. Nasi sudah menjadi bubur kerana gambar asal Galaxy S10 yang tertiris telah berjaya disimpan oleh laman GSMArena. Dari apa yang dapat dilihat, peranti mempunyai bahagian dahi dan dagu yang lebih kecil berbanding Galaxy S9. Kedudukan butang kuasa, suara dan Bixby juga tidak berubah. Apakah pendapat anda mengenai rekaan skrin berlubang pada Galaxy S10 ini?