Microsoft hari ini telah mengumumkan kemaskini Windows Insider yang terbaru, sekaligus menyertakan beberapa perubahan bersama-sama dengannya. Salah satu yang menjadi fokus adalah dimana Windows kelak akan memperuntukkan ruangan storan sekitar 7GB untuk pelbagai kemaskini.
Melalui mengasingkan ruangan sebanyak 7GB ini, ia kelak akan memudahkan pengguna membuat proses naik-taraf, termasuk kemaskini kritikal dan untuk aplikasi Windows. Ia juga akan memastikan pengguna sentiasa mempunyai ruangan yang mencukupi untuk naik-taraf – dan tidak lagi memaparkan notifikasi kekurangan ruangan storan.
Saiz storan yang tepat tidak dikongsikan, tetapi ia disasarkan sekitar 7GB. Hal ini mungkin berubah berdasarkan kepada ciri tambahan yang dipasang pengguna – termasuk dari segi pek bahasa dan sebagainya.
Microsoft turut mengatakan ciri ini akan diperkenalkan pada semua komputer yang dijual pada pertengahan pertama 2019 ini, dan bakal hadir kepada pengguna sedia ada melalui kemaskini Windows 10 akan datang.