Pada tahun 2009 sehingga tahun 2015, Twitter hadir dengan sebuah ciri dimana para penggunanya boleh menandai kicauan-kicauan mereka dengan tag geo-lokasi menggunakan GPS.
Secara kebiasaannya, tag geolokasi ini hanya akan menunjukkan lokasi umum pengguna tersebut, seperti Kuala Lumpur ataupun Subang Jaya. Akan tetapi, beberapa penyelidik data telah menunjukkan bahawa tag GPS tersebut sebenarnya lebih tepat daripada apa yang disangkakan.
Menurut laporan Wired, beberapa penyelidik data telah membina sebuah perisian yang dinamakan Location Privacy Auditor (LPAuditor) yang boleh menjangkakan pelbagai lokasi-lokasi pengguna berdasarkan kicauan mereka yang mempunyai tag GPS tersebut.
Perisian tersebut mampu mengandaikan lokasi-lokasi seperti tempat tinggal, tempat kerja, tempat riadah dan malah tempat beribadah pengguna, berdasarkan inferens daripada kicauan dan juga tag GPS yang boleh diakses secara terbuka.
Ciri tag geo-lokasi ini masih hadir pada Twitter, tetapi sejak tahun 2015, syarikat tersebut telah mengemaskini terma dan syarat mereka supaya pengguna perlu memilih untuk berkongsi lokasi mereka. Akan tetapi, kicauan dengan tag GPS yang tepat tersebut masih boleh diakses melalui API geo-lokasi sehingga hari ini.
Jika anda ingin membuang tag-tag GPS tersebut, anda boleh melakukannya melalui menu tetapan keselamatan Twitter.