Syarikat Penerbangan Norwegian Menjadi Yang Pertama Menawarkan Perkhidmatan WiFi Percuma Kepada Semua Penumpang

Syarikat Penerbangan Norwegian Menjadi Yang Pertama Menawarkan Perkhidmatan WiFi Percuma Kepada Semua Penumpang

Diterbitkan pada Jan 14, 2019 oleh .

Hujung minggu lalu saya menghabiskan 23 jam di dalam kapal terbang dalam perjalanan pulang dari Las Vegas ke Kuala Lumpur. Sepanjang penerbangan kami terpaksa hidup tanpa pautan Internet. Bagi menghilangkan kebosanan, saya terlebih dahulu memuat turun video Netflix untuk ditonton namun ketinggalan berita terkini. Norwegian ialah sebuah syarikat penerbangan murah dari negara Skandinavia yang kini menjadi yang pertama di dunia menawarkan perkhidmatan WiFi percuma kepada semua penumpang sepanjang tempoh perjalanan.

Menerusi perkhidmatan WiFi percuma ini, penumpang boleh membalas emel, melayari laman web, menghantar mesej kepada ahli keluarga dan mengemaskini laman media sosial. Ia walau bagaimanapun tidak cukup pantas untuk melakukan penstriman video. Untuk menikmati kelajuan Internet yang lebih pantas, penumpang perlu membayar $14.95 (~RM 61) untuk WiFi berkelajuan tinggi selama tiga jam.

Norwegian akan menawarkan WiFi percuma kepada penumpang laluan Eropah, Asia, Amerika Selatan dan Asia di dalam pesawat Boeing 789-9 Dreamliner dan Boeing 737 Max mereka. Pihak Norwegian kini mensasarkan 50% pesawat Boeing 787-9 Dreamliner mereka akan menawarkan perkhidmatan WiFi menjelang 2020.

Kerana internet kini diklasifikasikan sebagai hak asasi asas manusia, tidak mengejutkan jika di masa hadapan sistem hiburan dalam pesawat akan digantikan sepenuhnya dengan peranti pintar milik penumpang.


TIPS & ULASAN