Pandang Pertama Lenovo Z5 Pro GT – Peranti Pintar Pertama Dengan Snapdragon 855, Memori Sehingga 12GB RAM

Pandang Pertama Lenovo Z5 Pro GT – Peranti Pintar Pertama Dengan Snapdragon 855, Memori Sehingga 12GB RAM

Diterbitkan pada Jan 15, 2019 oleh .

Dengan Snapdragon 855, akhirnya Qualcomm akhirnya menghasilkan sebuah pemproses dengan teknologi 7nm. Ramai yang menyangka pengeluar besar seperti Samsung atau Xiaomi akan menjadi yang pertama menggunakannya tetapi Lenovo yang terawal mengumumkannya dengan melancarkan Lenovo Z5 Pro GT pada pertengahan 2018. Di CES 2019 kami sempat menggunakan peranti ini selama beberapa minit. Ini ialah pandang pertama kami untuk peranti pertama dengan cip Snapdragon 855 ini.

Spesifikasi

Lenovo Z5 Pro GT
Skrin 6.39″ FHD+ SAMOLED (403PPI)
Pemproses Snapdragon 855
Cip 2.84 X 1 GHz Kryo 485
2.42 X 3 GHz Kryo 485
1.8 X 4 GHz Kryo 485
Cip Grafik Adreno 640
RAM 6/8/12 Gigabyte
Muatan Dalaman 128/256/512 Gigabyte
Kamera Utama 24+16 Megapixel.
f/1.8, PDAF
Kamera Depan 16+8 Megapixel f/2.2
Bateri 3350 mAh
(Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Wajah, Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Bermula dari RM 1634*

Skrin peranti adalah sebesar 6.39″ dari keluarga SAMOLED dengan resolusi sekadar FHD+. Sebagai sebuah peranti mercu, tiadanya sokongan QHD+ atau HDR adalah sedikit membingungkan kerana ia adalah fungsi wajib pada peranti mercu sejak tahun 2018. Lenovo Z5 Pro GT mempunyai 88.5% permukaan skrin pada bahagian hadapan. Ini dicapai kerana bezel, dahi dan dagu yang nipis.

Skrin langsung tidak bertakuk kerana penggunaan sistem tubuh melungsur seperti yang ditemui pada Xiaomi Mi MIX 3 dan Honor Magic 2. Sistem melungsur ini dibuka secara manual. Seperti peranti dengan mekanisme melungsur yang lain, ini menyebabkan peranti tidak mempunyai sebarang ketahanan kalis air.

Seperkara lagi pada skrin kini terdapat pengimbas cap jari terbina. Sistem imbasan yang digunakan masih lagi dari jenis optikal. Cahaya terang dapat dilihat apabila imbasan cap jari dilakukan.

Pemproses Snapdragon 855 dipadankan dengan memori sebesar 6/8/12GB RAM dan storan sehingga 512GB. Model dengan 12GB tidak dipaparkan di CES. Menurut wakil Lenovo model dengan RAM yang terbesar pernah dihasilkan ini tidak dibawa kerana masih belum dijual di China.

Bercakap mengenai kamera pula, kamera utama pada bahagian belakang menggabungkan sensor 24+16 Megapixel yang mampu merakam video pada tetapan maksimum 4K. Kamera disusun secara menegak pada bahagian belakang peranti. Kamera hadapan pula adalah kombinasi 16+8 Megapixel f/2.2 yang tersorok di belakang mekanisme gelongsor. Sistem kamera yang sama digunakan untuk sistem imbasan wajah yang boleh digunakan dalam keadaan gelap.

Di antara dua sensor kemera terletak sebuah gagang telinga. Dalam posisi tertutup, audio yang dihasilkan keluar menerusi lubang kecil pada bahagian dahi skrin. Pada bahagian bawah terdapat sebuah lagi pembesar suara yang melengkapi sistem audio stereo Dolby Atmos peranti. Kami difahamkan untuk menikmati kualiti audio yang optimum, peranti perlu digunakan pada posisi melongsor.

Bateri yang disertakan hanya sebesar 3350 mAh. Ini adalah saiz yang kecil bagi peranti mercu. Tetapi kami menyedari peranti dengan rekaan melungsur kesemuanya dilengkapi bateri yang bersaiz kecil. Xiaomi Mi MIX 3  dan Honor Magic 2 sebagai contoh masing-masing dilengkapi bateri sebesar 3200 mah dan 3500 mAh. Mekanisme melongsor menyebabkan bateri yang bersaiz kecil sahaja boleh digunakan walaupun tubuh peranti adalah lebih tebal berbanding peranti lain di pasaran.

Rekabentuk

Rekaan peranti adalah menarik pada bahagian hadapan kerana ia tidak mempunyai sebarang takuk. Bezel sisi dan atas peranti adalah amat nipis seperti sebuah iPhone. Hanya bahagian dagu sedikit tebal tetapi setanding yang ditemui pada sebuah Mate 20 Pro.

Paparan skrin adalah terang dan tajam walaupun hanya sekadar beresolusi FHD+. Kerana rekaan hampir semua-skrin yang digunakan, adalah sukar untuk menyentuh kesemua permukaan skrin dengan hanya sebelah tangan. Ini ialah masalah yang berlaku sejak peranti mula menggunakan skrin dengan nisbah skrin yang lebih panjang berbanding 16:9 sebelum ini.

Panel belakang Z5 Pro GT di reruai adalah yang dilengkapi kemasan seakan gentian karbon. Ini walau bagaimanapun hanyalah corak dan panel belakang bukannya dibuat dari bahan ini seperti yang ditemui pada komputer riba ThinkPad X1 Carbon juga keluaran Lenovo. Panel belakang melengkung bagi membuatkan ia lebih selesa di dalam tangan. Bahagian sisi pula sedikit berkotak. Seperti yang katakan beberapa perenggan sebelum ini, peranti ini adalah sedikit tebal jika dibandingkan dengan peranti dengan rekaan konvensional.

Sistem melongsor yang digunakan adalah manual. Perkara positif sistem ini ialah ia tidak memerlukan sebarang motor elektrik atau mekanisme yang rumit. Sungguhpun begitu sistem kami masih belum berjaya menyesuaikan diri menggunakan telefon pintar dengan tubuh melungsur. Ini adalah kerana ia bukanlah rekaan peranti yang biasa digunakan. Mungkin jika kami menggunakannya dengan lebih lama, ia akan menjadi lebih selesa sama seperti kami membiasakan diri dengan peranti berskrin 6.4 sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Pada sisi kanan terdapat sebuah butang kuasa manakala butang suara dari jenis rocker terletak pada sisi sebelah kiri. Kedua-dua butang adalah diperbuat daripada logam. Satu perkara negatif yang ingin kami sentuh ialah kedua-dua butang adalah sedikit terkeluar dan kurang selesa untuk ditekan. Mengapa ia lebih terkeluar berbanding rekaan butang biasa tidak kami ketahui.

Seperkara lagi perkara yang ingin kami sentuh ialah berkenaan audio. Peranti tidak dilengkapi dengan bicu audio. Output dilakukan menerusi port USB-C. Sistem audio stereo dengan sokongan Dolby Atmos adalah lantang tetapi bukan yang terbaik pernah kami dengari. Ini adalah kerana susunan pembesar suara yang asimetri membuatkan imbangan audio yang tidak optimum.

Ikhlas kami katakan peranti dengan rekaan melongsor kurang menarik dan praktikal untuk kegunaan harian. Ia lebih tebal dan tidak kurang cantik jika dibandingkan dengan rekaan peranti biasa. Tambahan lagi tiadanya kemampuan kalis air diberikan. Tetapi kami yakin ada golongan yang tidak kisah dengan beberapa kekurangan asalkan peranti mempunyai peratusan permukaan skrin hadapan yang besar dan tiadanya takuk.

Penggunaan Dan Kesimpulan

Sistem operasi Android Pie dipadankan dengan pelancar ZUI 10. Pelancar ini menggunakan kawalan gesture tetapi ia bukan berasaskan sistem yang digunakan pada peranti PIxel. Dalam penggunaan selama beberapa minit di reruai kami mendapati sistem kawalan yang digunakan bukanlah yang paling intuitif pernah dihasilkan. Rekaan ikon dan pilihan warna juga mempunyai pengaruh China yang amat nyata. Bergantung kepada pengguna ini boleh diambil sebagai positif ataupun negatif.

Kami sempat melakukan ujian penanda aras Antutu dan Lenovo Z5 Pro GT mencatatkan 368,533 markah. Ini ialah markah yang lebih tinggi berbanding 319,929 yang dicatatkan oleh cip Apple A12 Bionic pada iPhone XS Max yang kami ulas sebelum ini. Ini sekaligus menjadikannya peranti dengan markah penanda aras tertinggi di dunia pada waktu ini.

Waktu yang kami habiskan menggunakan Z5 Pro GT adalah terlalu singkat untuk benar-benar menguji kemampuan sebenarnya. Tetapi markah penanda aras dan kelancaran peranti adalah baik. Kami difahamkan peranti ini hanya akan dipasarkan di China sahaja buat masa ini kerana Lenovo tiada perancangan memasarkannya secara global.

Apakah pula pendapat pembaca Amanz mengenai rekaan peranti melongsor sebagai penyelesaian kepada masalah bezel yang besar? Adakah ialah penyelesaian yang bijak atau rekaan skrin berlubang adalah lebih praktikal? Kongsikan pendapat anda di bawah.


TIPS & ULASAN