Carian
MOQI – Satu Lagi Telefon Memfokuskan Permua, Hadir Dengan Butang Kawalan Terbina
January 15, 2019 Aman

Pada hari ini, terdapat pelbagai peranti mudah-alih yang memfokuskan kepada sokongan permainan video melaluinya – termasuk yang paling terkini dilancarkan di Malaysia hari ini adalah Razer Phone 2. Menariknya, selain daripada pelbagai pengeluar utama, kini pembangun bebas turut hadir dengan projek mereka tersendiri, dinamakan MOQI.

MOQI kini mengumpul dana melalui IndieGogo untuk merealisasikan peranti mereka.

MOQI

MOQI hadir dengan skrin 6-inci dan dijana cip Snapdragon 710. Ia menyertakan memori 6GB RAM, storan 64GB, dan menariknya bateri berkapasiti 6000mAh dengan sokongan pengecasan pantas QC3.0.

MOQI

Apa yang membezakan telefon pintar ini dengan yang lain dipasaran adalah ia hadir dengan alat kawalan fizikal secara terbina tanpa memerlukan sebarang aksesori tambahan. Alat kawalan yang disertakan boleh turut disesuaikan dengan pelbagai permainan sedia ada di pasaran. Pembangunnya turut menyenaraikan permainan seperti PUBG, Fortnite dan sebagainya telah dioptimasikan untuk kawalan menggunakan telefon ini.

Melengkapkan telefon MOQI ini juga adalah ia turut hadir dengan sokongan penyejukan berasaskan cecair.

Bagi anda yang berminat, boleh menyokong projek ini melalui laman IndieGogo hari ini, dimana telefon ini disenaraikan pada harga $399, iaitu sekitar RM1634.

Komen