Cari @ Amanz

Sewaktu acara CES 2019, NVIDIA mengumumkan bahawa mereka akan mula hadir dengan kemaskini perisian dimana kad-kad grafik mereka akan menyokong teknologi paparan Adaptive Sync, ataupun lebih dikenali sebagai AMD FreeSync.

Hari ini, NVIDIA baru sahaja melancarkan kemaskini perisian grafik GeForce driver 417.71 untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 yang baru sahaja dilancarkan dan juga untuk memperkenalkan sokongan untuk paparan AMD FreeSync kepada kad-kad grafik NVIDIA.

Selepas kemaskini tersebut dimuat-turun, jika anda mempunyai sebuah paparan FreeSync yang diiktiraf G-SYNC Compatible oleh NVIDIA, perisian GeForce Experience akan terus mengaktifkan ciri kadar segar semula boleh-ubah (variable refresh rate) secara automatik.

Jika paparan FreeSync anda tidak diiktiraf oleh NVIDIA, anda masih boleh mengaktifkan sokongan kad grafik NVIDIA secara manual melalui perisian NVIDIA Control panel. Anda hanya perlu memastikan ciri kadar segar semula boleh-ubah diaktifkan melalui OSD paparan anda.

Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah ciri ini hanya akan disokong jika anda menyambungkan paparan anda kepada kad grafik menggunakan kabel DisplayPort. Walaupun terdapat paparan yang boleh menggerakkan FreeSync menggunakan HDMI, sokongan teknologi GSYNC hanya hadir melalui palam DisplayPort pada kad grafik.

Buat masa ini NVIDIA masih menyatakan bahawa hanya 12 paparan AMD FreeSync disokong, dan pengalaman penggunaan anda mungkin berbeza jika menggunakan ciri variable refresh rate tersebut dengan paparan yang tidak diiktiraf..

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd