Carian
Bootloader Realme 2 Pro Kini Boleh Dinyahkunci Secara Rasmi
January 16, 2019 Fahim Zahar

Realme pada awal dilancarkan ia adalah sub-jenama Oppo. Kini Realme bergerak dengan sendiri dalam menghasilkan produk-produk mereka. Salah satu telefon pintar mereka yang menarik adalah Realme 2 Pro. Realme 2 Pro ini dijana dengan cip pemprosessan Snapdragon 660 dan dipadankan dengan pilihan memori 4GB hingga 8GB RAM dan storan dalaman dari 64GB hingga 128GB. Harga jualan pula agak menarik, di mana di Malaysia ia dijual pada tanda harga bermula dari RM859 hingga RM1099.

Terkini, di forum rasmi Realme – mereka telah terbitkan satu cara untuk menyahkunci bootloader secara rasmi. Dengan bootloader yang telah dinyahkunci, pengguna atau pembangun akan bebas mengakses keseluruhan sistem peranti ini. Sedikit berbeza dengan peranti lain, untuk Realme 2 Pro ini – pengguna perlu muat turun satu aplikasi khasDeepTesting‘ dan pasang pada peranti. Selesai pemasangan, ikuti arahan dalam aplikasi dan teruskan dengan menggunakan PC seperti biasa.

Realme turut memberi amaran yang mana, proses ini akan memadam semua data dan storan yang ada dalam peranti. Kemaskini OTA juga tidak akan diterima serta ada kemungkinan banyak masalah akan timbul. Menariknya, proses ini tidak akan menamatkan waranti peranti dan Realme 2 Pro yang rosak disebabkan nyahkunci bootloader atau pemasangan custom ROM masih boleh dihantar untuk tebus waranti.

Bagi yang berminat untuk menyahkunci bootloader Realme 2 Pro, boleh layari laman web di bawah dan muat turun .APK DeepTesting. Apa-apa pun selamat mencuba dan berhati-hati.

Komen