Oppo Memperlihatkan Teknologi Kamera Dengan Zoom Sehingga 10x

Oppo Memperlihatkan Teknologi Kamera Dengan Zoom Sehingga 10x

Diterbitkan pada Jan 16, 2019 oleh .

Oppo hari ini telah mengadakan acara khas di China, dimana mereka memperlihatkan dua teknologi baru yang bakal hadir pada telefon pintar mereka – iaitu sokongan teknologi kamera dengan zoom sehingga 10x, selain sokongan pengimbas cap jari pada skrin.

Melalui teknologi zoom baru ini, Oppo memperlihatkan penggunaan tri-kamera yang mana membolehkan gabungan kamera ultra-lebar dan juga kamera utama dalam susunan seumpama periskop. Oppo mengatakan ia mampu menawarkan sokongan zoom hibrid sehingga 10x yang menawarkan gabungan antara 15.9mm sehingga 159mm.

Rekaan berbentuk periskop ini membolehkan susunan kamera tidak tebal seperti kamera kebiasaan, sekaligus membolehkan rekaan telefon pintar dikekalkan nipis dan tidak tebal. Ia juga dikatakan mampu menawarkan transisi rakaman gambar dari 1x ke 10x dengan mudah melaluinya.

Selain daripadanya, Oppo turut memperlihatkan sokongan pengimbas cap jari pada skrin – yang menggunakan ruangan permukaan lebih luas, selain mampu membaca sehingga dua cap jari berbeza pada waktu yang sama – sekaligus menawarkan kadar sekuriti yang lebih baik lagi.

Oppo mengatakan mereka bakal memperlihatkan lanjut mengenai kedua-dua teknologi ini pada acara MWC 2019 bulan hadapan. Ia masih tidak diketahui lagi sama ada kedua-dua teknologi ini akan ditawarkan melalui produk komersil pada tahun ini atau tidak.


TIPS & ULASAN