Cari @ Amanz

Tinggal sekitar tujuh bulan sahaja lagi sebelum Android Q dilancarkan. Sungguhpun begitu butiran awal untuk versi terkini Android ini telahpun tertiris menerusi laman XDA Developer. Mereka mendapat akses awal dan beberapa fungsi baharu yang sebelum ini hanya muncul pada pelancar pihak ketiga bakal diperkenalkan secara terbina.

Pertama sekali ialah mod gelap pada keseluruhan sistem bakal diperkenalkan. Sebelum ini mod gelap hanya ditemui pada sebahagian antaramuka seperti talam notifikasi misalnya. Tambahan lagi menurut XDA pengguna boleh menggunakan mod gelap ini pada aplikasi yang tidak menyokonganya secara rasmi.

Kedua ialah mod desktop terbina. Ini membolehkan sistem seakan Samsung DeX dan Huawei Easy Projection disokong secara natif. Sebagai pengguna mod desktop yang agak kerap, kami amat teruja dengan sokongannya secara terbina pada Android Q. Turut bakal disokong ialah rakaman skrin natif. Sebelum ini pengguna perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga atau membeli peranti dengan pelancar yang menyokongnya seperti Huawei EMUI.

Akhir sekali sistem privasi yang memberikan kawalan yang lebih kepada pengguna turut diperkenalkan. Pengguna boleh menetapkan kebenaran mengakses lokasi misalnya hanya apabila aplikasi digunakan. Bagi mereka yang tidak mahu dijejak sepanjang masa tetapi tidak mahu menghalang kebenaran kepada aplikasi, pilihan ketiga ini adalah amat diperlukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd