Carian
Swiss Alp Watch Concept Black Ialah Jam Tanpa Jarum Masa Yang Dijual Pada Harga RM1.44 Juta
January 18, 2019 Effi Saharudin

H. Moser & Cie ialah syarikat jam tangan mewah yang berpangkalan di Switzerland. Beberapa tahun yang lalu mereka melancarkan Swiss Alp Watch yang kelihatan seperti sebuah Apple Watch tetapi dilengkapi sistem mekanikal tourbillon yang rumit. Walaupun dihasilkan sebagai jenaka, H. Moser & Cie terkejut dengan sambutan luar biasa dari peminat jam mewah seluruh dunia.

Mereka kini melancarkan model baharu Swiss Alp Watch Concept Black tanpa jarum masa untuk menunjukkan waktu. Pada muka jam hanya terdapat latar belakang hitam dan mekanisme tourbillon yang terdedah. Pada bahagian belakang pula terdapat tingkap yang menunjukkan keseluruhan sistem mekanikal jam ini.

Jadi bagaimanakah pengguna mengetahui waktu pada Swiss Alp Watch Concept Black? Pada sisi jam terdapat sebuah laras yang apabila ditarik akan mengaktifkan sistem loceng yang memberikan bunyi berbeza untuk jam, minit dan saat. Pengguna perlu mendengar dan mengira deringan loceng berbeza ini.

Mungkin ada yang merasakan ini ialah konsep jam mekanikal yang tidak masuk akal. Tetapi sebenar jam jenis repeater ini sudah wujud sejak 1676. Ia dicipta untuk pengguna mengetahui waktu pada waktu malam yang gelap. Pada zaman tersebut lilin ialah barangan mewah yang hanya dimiliki golongan bangsawan.

Kepada yang berminat dengan Swiss Alp Watch Concept Black. jam tangan repeater ini dijual pada harga $350,000 (~RM 1.44 juta) seutas.

Komen