Aplikasi WeChat di China bukan sekadar untuk pemesejan untuk berkenalan dengan individu berhampiran. Di China ekosistem WeChat membolehkan ia menjadi dompet digital dan memaparkan kad pengenalan seseorang pengguna. Di Hebei China, ia kini menguji fungsi memaparkan lokasi individu yang liat membayar hutang.
Menerusi kerjasama dengan mahkamah tinggi Hebei, individu yang didapati liat membayar hutang akan dipamerkan di dalam peta mini WeChat. Pengguna biasa boleh melihat nama dan kad pengenalan mereka yang berada dalam lingkungan 500 meter. Dengan memalukan penghutang ini, kerajaan tempatan berharap mereka akan membayar hutang dengan secepat mungkin.
Sebelum ini kami laporkan China bakal mengaktifkan sistem kredit sosial untuk setiap warga menjelang 2020. Apabila kesalahan dilakukan, markah peribadi akan ditolak. Ini boleh mendatangkan kesan kepada permohonan tempat kerja, rumah rakyat, pinjaman bank dan persekolahan mereka. Sistem seakan fiksyen sains Black Mirror ini digunakan untuk mengawal adab rakyat sepanjang masa.