Cari @ Amanz

Salah satu aspek yang penting dalam memberi kelancaran peranti adalah teknologi storan yang digunakan. Sekiranya di PC kita ada storan SSD, di telefon, kita ada storan UFS untuk memberi prestasi lebih pantas berbanding storan eMMC biasa. Dengan penggunaan storan yang lebih pantas, kita dapat menikmati penyimpanan gambar yang lebih lancar disamping dapat mengurangkan masa menunggu ketika memulakan suatu permainan.

Storan Universal Flash Storage atau UFS ini mempunyai dua standard yang popular iaitu UFS 2.0 dan UFS 2.1. Ia mempunyai kelajuan minimum 350 MB/saat untuk Sequential Read, dan 150MB/saat untuk kelajuan Sequential Write. Apabila dibandingkan, storan eMMC 5.1 memberi kelajuan minimum 250MB/saat untuk Sequential Read dan 125MB/saat untuk kelajuan Sequential Write.

Untuk melihat jenis storan yang berada di dalam peranti anda, anda boleh gunakan aplikasi Androbench, dan perhatikan nilai “Sequential Read” dan “Sequential Write”. Kemudian, bandingkan angka tersebut dengan jadual di bawah.

Kami telah memilih beberapa peranti yang sedia menawarkan storan UFS di bawah harga RM1500 ini, yang mana dinilai berdasarkan sejumlah kriteria permilihan di bawah.

Kriteria Pemilihan

  • Telefon 2018 dan ke atas.
  • Kelajuan storan melepasi kelajuan minimum storan UFS.
  • Ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Selain itu, kesemua telefon yang dipilih di dalam artikel ini adalah berdasarkan set rasmi dengan harga terendah yang anda boleh dapat daripada pengedar-pengedar yang sah. Dengan penilaian yang teliti, berikut adalah senarai telefon penawaran storan UFS di bawah harga RM1500.


06

Realme 2 Pro

Kita mulakan dahulu dengan Realme 2 Pro iaitu satu-satunya peranti kelas pertengahan dalam senarai ini. Menariknya, ia berkongsi banyak persamaan dengan OPPO F9 terutama dari segi dimensi, rekaan hadapan, dan sokongan dwi-kamera. Ia membawakan rekaan takuk yang kecil, rekaan glossy yang menawan, keupayaan dwi-kamera 16MP + 2MP, bersama kamera hadapan 16MP. Ia juga hadir dengan cip Qualcomm Snapdragon 660, memori 8GB RAM, dan bateri berkapasiti 3500 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia masih menawarkan sambungan berasaskan mikroUSB berbanding sambungan terkini berasaskan USB-C. Walaupun rekaan peranti ini menarik, namun binaannya masih diperbuat daripada polikarbonat berbanding rekaan kaca yang lebih menawan.

Spesifikasi:

  • 6.3” IPS LCD FHD+ 19.5:9
  • Qualcomm Snapdragon 660
  • 4 x Kryo 260 2.0 GHz, 4 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 8GB RAM / 128GB + mikroSD
  • 16MP f/1.7 + 2MP / 16MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3500 mAh, mikroUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1099 (8GB RAM + 128GB)


05

Honor Play

Peranti seterusnya yang anda boleh dapat ialah Honor Play yang merupakan peranti termurah dengan cip HiSilicon Kirin 970. Ia membawakan skrin bersaiz 6.3-inci, sokongan 4D Gaming, dan hadir dengan fungsi NFC secara terbina. Ia juga hadir dengan sokongan dwi-kamera AI, kamera hadapan 16MP, dan bateri berkapasiti 3750 mAh.

Spesifikasi:

  • 6.3” IPS LCD FHD+ 19.5:9
  • HiSilicon Kirin 970
  • 4 x A73 2.4 GHz, 4 x A53 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 16MP f/2.2 + 2MP / 16MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3750 mAh, USB-C, pengecasan 18W
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1099 (4GB RAM + 64GB)


04

Honor 10

Telefon ketiga yang anda boleh dapat ialah Honor 10 yang menawarkan rekaan kaca berkilau di bahagian belakang. Ia membawakan skrin bersaiz 5.84-inci, cip Kirin 970, dan menawarkan fungsi NFC secara terbina. Ia juga hadir dengan sokongan dwi-kamera AI, kamera hadapan 24MP, dan bateri berkapasiti 3400 mAh.

Cuma kekurangannya, ia tidak menampilkan slot kad mikroSD bagi sekaligus memerlukan anda bergantung kepada penggunaan storan dalaman.

Spesifikasi:

  • 5.84” IPS LCD FHD+ 19:9
  • HiSilicon Kirin 970
  • 4 x A73 2.4 GHz, 4 x A53 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 128GB
  • 16MP f/1.8 + 24MP / 24MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3400 mAh, USB-C, pengecasan 22.5W
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1399 (4GB RAM + 128GB)


03

Honor View 10

Telefon keempat yang anda boleh dapat ialah Honor View 10 yang kini boleh didapati pada harga RM1165. Ia telah menerima potongan harga yang hebat kerana ia sudah lama berada di pasaran namun penawarannya masih berbaloi. Ia membawakan skrin Full HD+ bersaiz 5.99-inci, cip HiSilicon Kirin 970, dan hadir dengan memori 6GB RAM. Ia juga membawakan sokongan NFC, keupayaan dwi-kamera AI, dan bateri berkapasiti 3750 mAh.

Cuma kekurangannya, binaannya dilihat kurang menarik berbanding rekaan pesaingnya yang hadir dengan binaan kaca.

Spesifikasi:

  • 5.99” LTPS LCD FHD+ 18:9
  • HiSilicon Kirin 970
  • 4 x A73 2.4 GHz, 4 x A53 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 128GB + mikroSD
  • 16MP f/1.8 + 20MP / 13MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3750 mAh, USB-C, pengecasan 22.5W
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1165 (6GB RAM + 128GB)


02

Pocophone F1

Telefon kelima yang anda boleh dapat ialah Pocophone F1 iaitu telefon termurah dengan cip Snapdragon 845. Ia membawakan skrin bersaiz 6.18-inci, menawarkan sokongan dwi-kamera, dan hadir dengan kamera hadapan 20MP. Ia juga dijana dengan memori 6GB RAM, hadir dengan pembesar suara stereo, dan mempunyai bateri berkapasiti 4000 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, rekaannya tidak begitu menarik atas kehadiran binaan berasaskan polikarbonat.

Spesifikasi:

  • 6.18” IPS LCD FHD+ 18.7:9
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz, 4 x Kryo 385 Silver 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/1.9 + 5MP / 20MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 4000 mAh, USB-C, Quick Charge 4+
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1199 (6GB RAM + 64GB)


01

Xiaomi Mi MIX 2S

Telefon terakhir yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi MIX 2S dengan membawakan rekaan skrin sepenuhya. Ia didatangkan dengan skrin 5.99-inci, cip Snapdragon 845, dan hadir dengan memori 6GB RAM. Ia juga didatangkan mempunyai sokongan NFC, menawarkan fungsi pengecasan tanpa wayar, kamera dengan OIS, dan membawakan bateri berkapasiti 3400 mAh.

Cuma kekurangannya, ia tidak menampilkan slot kad mikroSD sekaligus memerlukan anda bergantung kepada storan dalaman peranti ini. Ia juga tidak menampilkan sambungan bicu audio, dengan memerlukan anda bergantung kepada penyesuaian audio USB-C ke 3.5mm.

Spesifikasi:

  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz, 4 x Kryo 385 Silver 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 64GB
  • 12MP f/1.8 OIS + 12MP / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3400 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1399 (6GB RAM + 64GB)


Jadi itulah senarai telefon dengan storan UFS yang anda boleh dapati di bawah harga RM1500. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd