Carian
Xiaomi Melancarkan Aqara Smart Curtain Motor – Set Rel Langsir Pintar
January 22, 2019 Fahim Zahar

Zaman sekarang hampir semua benda ingin dipintarkan. Baik boleh dikawal dengan arahan suara, aplikasi atau sentiasa berhubung. Terkini, Xiaomi melancarkan Aqara Smart Curtain Motor, iaitu rel langsir pintar.

Aqara Smart Curtain Motor ini mempunyai motor dan kuasanya adalah daripada bateri sahaja. Untuk kawalan ia boleh digunakan melalui aplikasi Mi Home. Pengguna turut boleh menjadualkan bila langsir akan dibuka atau ditutup dan menggunakan kawalan suara melalui Xiao Ai. Turut disertakan adalah alat kawalan nirwayar yang boleh digunakan dengan untuk buka/tutup langsir dengan kawalan tap sahaja.

Menarik sekali, jika pengguna sudah memiliki Mi Home Sensor dan menambatkan Aqara Smart Curtain Motor ini sekali – ia boleh membuka langsir apabila pengguna berada di tingkap dan langsir akan ditutup apabila pengguna berjauhan dengan tingkap. Selain itu, ia turut boleh diselarikan dengan tombol pintu pintar Xiaomi Aqara – di mana, buka sahaja pintu, langsir pun terbuka.

Aqara Smart Curtain Motor tanpa rel dijual pada harga RMB549 (~RM333) dan Aqara Smart Curtain Motor dengan rel langsir terbina dijual pada harga hanya RMB1099 (~RM667). Ia dijual di laman biayasama Xiaomi, Youpin. Apa pendapat anda? Adakah patut rel langsir juga dipintarkan?

Komen