Carian
Telefon Dengan Pembesar Suara Stereo Di Bawah RM1500
January 23, 2019 Arib Ismail

Telefon pintar pada saat ini bukan sahaja menjadi alat penghubung tetapi turut digunakan sebagai alat hiburan. Ada yang menggunakannya untuk menonton video, filem, dan mendengar muzik yang mana kini kesemuanya dapat diakses secara pantas melalui peranti pintar ini. Jadi untuk mendapatkan pengalaman multimedia yang memuaskan, bunyi pembesar suara yang lantang dan sokongan stereo adalah satu kemestian ketika mencari sesebuah telefon pintar.

Sistem pembesar suara stereo ini membolehkan dua saluran bunyi, iaitu di bahagian kiri dan kanan, dapat mengeluarkan bunyi berbeza dalam memberi kualiti audio yang lebih imersif. Selalunya pada peranti pintar hari ini, saluran earpiece dijadikan sebagai saluran untuk audio di sebelah kiri, dan pembesar suara di bawah dijadikan sebagai saluran audio pada bahagian kanan.

Jadi apakah manfaat daripada sistem audio ini? Bayangkan anda sedang menonton filem, saluran di sebelah kiri memfokuskan kepada bunyi kereta dan saluran bunyi di bahagian kanan memfokuskan kepada bunyi tembakan. Apabila disatukan, bunyi stereo ini sedikit sebanyak dapat memberi pengalaman bunyi seolah-olah anda mendengar bunyi di lokasi yang sebenar.

Kami telah memilih beberapa peranti dengan sokongan stereo di bawah harga RM1500 ini, yang mana dinilai berdasarkan sejumlah kriteria permilihan di bawah.

Kriteria Pemilihan

  • Telefon 2017 dan ke atas.
  • Menawarkan pembesar suara berasaskan stereo.
  • Ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Selain itu, kesemua telefon yang dipilih di dalam artikel ini adalah berdasarkan set original pada harga terendah yang anda boleh dapat daripada pengedar-pengedar yang sah. Jadi bagi anda sedang mencari peranti baru dan sokongan pembesar suara stereo ini menjadi keutamaan anda, berikut adalah senarai peranti yang mempunyai pembesar suara stereo di bawah harga RM1500.


Nokia 2.1

Kita mulakan dahulu dengan Nokia 2.1 iaitu peranti paling murah yang anda boleh dapat di dalam senarai ini. Ia membawakan rekaan legasi Nokia, yang terkenal dengan binaan tahan lasak. Ia hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci, bateri berkapasiti 4000 mAh, dan dijana dengan program Android Go.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia menawarkan spesifikasi asas jadi ia tidak disyorkan untuk penggunaan intensif atau permainan. Bermakna, ia lebih disyorkan untuk pengguna yang menggunakan fungsi-fungsi asas (seperti permesejan & tontonan video) dan tidak disyorkan untuk yang mengutamakan aspek prestasi dan keupayaan penggambaran.

Spesifikasi:

  • 5.5” IPS LCD FHD+ 16:9
  • Qualcomm Snapdragon 425
  • 4 x Cortex-A53 1.4 GHz
  • 1GB RAM / 8GB + mikroSD
  • 8MP / 5MP
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 4000 mAh, mikroUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 Oreo (Edisi Go)

Harga: RM439 (1GB RAM + 8GB)


Xiaomi Mi Max 2

Peranti seterusnya yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi Max 2 yang menawarkan rekaan peranti berskrin besar. Ia hadir dengan paparan bersaiz 6.44-inci, cip Snapdragon 625, dan mempunyai penawaran memori 4GB RAM. Ia juga membawakan fungsi IR blaster dan didatangkan dengan kapasiti bateri 5300 mAh.

https://www.youtube.com/watch?v=M9HDGmd-d6E

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 625 yang mana sudah mula menunjukkan usia untuk penggunaan intensif. Cip ini masih lancar untuk kegunaan asas, namun prestasi permainannya tidak lagi secekap dengan cip kelas pertengahan hari ini.

Spesifikasi:

  • 6.44” IPS LCD FHD+ 16:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/2.2 / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 5300 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
  • Android 7.1 Nougat

Harga: RM699 (4GB RAM + 64GB)


Xiaomi Mi Max 3

Telefon ketiga yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi Max 3 iaitu iterasi ketiga bagi siri Xiaomi Mi Max ini. Ia membawakan skrin bersaiz 6.9-inci, cip Snapdragon 636, dan menawarkan memori 4GB RAM. Ia juga membawakan fungsi dwi-kamera, sokongan IR blaster, dan bateri berkapasiti 5500 mAh.

https://www.youtube.com/watch?v=m8-CSrK4q9o

Cuma kekurangannya, ia menggunakan cip Snapdragon 636 yang mana hanya sedikit tewas di belakang cip Snapdragon 660 pada Xiaomi Mi A2 dan Mi 8 Lite.

Spesifikasi:

  • 6.9” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 8 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/1.9 + 5MP / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 5500 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1079 (4GB RAM + 64GB)


ASUS ZenFone 5

Telefon keempat yang anda boleh dapat ialah ASUS ZenFone 5 iaitu peranti kelas pertengahan dengan rekaan yang menarik. Ia membawakan skrin bersaiz 6.2-inci, cip Snapdragon 636, dan hadir dengan memori 4GB RAM. Ia juga membawakan kamera dengan fungsi penggambaran wide-angle, sokongan NFC, dan bateri berkapasiti 3300 mAh.

Cuma kekurangannya, kapasiti baterinya agak sedikit rendah untuk kegunaan multimedia. Ia memadai untuk kegunaan harian, namun untuk kegunaan seperti tontonan video bersama penggunaan pembesar suara, kapasiti 3300 mAh ini pastinya akan menyingkatkan penggunaan peranti secara seharian.

Spesifikasi:

  • 6.2” IPS LCD FHD+ 18.7:9
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 4 x Kryo 260 1.8 GHz, 4 x Kryo 260 1.6 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/1.8 OIS + 8MP / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3300 mAh, USB-C, pengecasan 10W
  • Android 8.0 Oreo

Harga: RM1299 (4GB RAM + 64GB)


Huawei Y Max

Telefon kelima yang anda boleh dapat ialah Huawei Y Max iaitu telefon berskrin besar yang memfokuskan kepada penggunaan multimedia. Ia membawakan skrin bersaiz 7.12-inci, sokongan audio Dolby Atmos, dan hadir dengan keupayaan dwi-kamera. Ia juga dijana dengan cip Snapdragon 660, memori 4GB RAM, dan mempunyai bateri berkapasiti 5000 mAh.

Cuma kekurangannya, ia masih menampilkan sambungan mikroUSB berbanding USB-C dengan membawakan sambungan yang lebih standard untuk peranti hari ini. Dengan harga yang mencecah ribuan ringgit, ia juga agak sedikit mengecewakan kerana ia tidak menyokong sambungan WiFi 5 GHz untuk penyambungan WiFi yang lebih pantas.

Spesifikasi:

  • 7.12” IPS LCD FHD+ 18.7:9
  • Qualcomm Snapdragon 660
  • 4 x Kryo 260 2.2 GHz, 4 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 128GB + mikroSD
  • 16MP f/2.0 + 2MP f/2.4 / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 5000 mAh, mikroUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1299 (4GB RAM + 128GB)


Huawei P10 Plus

Anda juga boleh mendapatkan telefon Huawei generasi sebelum ini iaitu Huawei P10 Plus. Ia didatangkan dengan skrin 5.5-inci, cip Kirin 960, dan hadir dengan memori 6GB RAM. Ia juga menawarkan keupayaan dwi-kamera dengan pengesahan Leica, mempunyai sokongan IR blaster, NFC, dan hadir dengan kapasiti bateri 3750 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia menampilkan bingkai yang tebal pada bahagian hadapan sekaligus memberi penampakan yang sedikit lama apabila dibandingkan dengan peranti moden hari ini.

Spesifikasi:

  • 5.5” IPS-NEO LCD FHD+ 16:9
  • HiSilicon Kirin 960
  • 4 x Cortex-A73 2.4 GHz, 4 x Cortex-A53 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 128GB + mikroSD
  • 12MP f/1.8 OIS + 20MP / 8MP f/1.9
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3750 mAh, USB-C
  • Android 7.0 Nougat

Harga: RM1499 (6GB RAM + 128GB)


Pocophone F1

Telefon terakhir yang anda boleh dapat ialah Pocophone F1 iaitu telefon termurah dengan cip Snapdragon 845. Ia membawakan skrin bersaiz 6.18-inci, menawarkan sokongan dwi-kamera, dan hadir dengan kamera hadapan 20MP. Ia juga dijana dengan memori 6GB RAM, menawarkan keupayaan dwi-kamera yang baik, dan mempunyai bateri berkapasiti 4000 mAh.

Cuma kekurangannya, ia membawakan rekaan yang kurang menarik selain menyajikan binaan berasaskan plastik. Ia juga tidak membawakan sokongan NFC bagi memudahkan penyambungan aksesori dan kemudahan untuk pembayaran tanpa tunai.

Spesifikasi:

  • 6.18” IPS LCD FHD+ 18.7:9
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz, 4 x Kryo 385 Silver 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 64GB
  • 12MP f/1.9 + 5MP / 20MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 4000 mAh, USB-C, Quick Charge 4+
  • Android 8.1 Oreo

Harga: RM1299 (6GB RAM + 64GB)


Jadi itulah senarai telefon dengan pembesar suara stereo yang anda boleh dapati di bawah harga RM1500. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.

Komen