Adalah normal sekarang untuk menonton filem dan kemudian berkongsi mengenai pengalaman menggunakan media sosial. Sebagai contoh filem Birdbox menjadi tular di media sosial kerana perkongsian pelbagai meme dan cabaran dilakukan berdasarkan babak dari filem tersebut. Hari ini Netflix memperkenalkan sokongan perkongsian kandungan mereka terus ke Instagram Stories.
Apabila pengguna Netflix menekan butang Share pada iPhone, terdapat pilihan untuk Instagram Stories. Pengguna kemudian boleh meletakkan teks dan grafik sama seperti kandungan Stories yang lain. Buat masa ini ia hanya membenarkan perkongsian imej kerdil filem atau siri yang ditonton sahaja. Ini pastinya akan meningkatkan kebarangkalian filem atau siri yang ditawarkan oleh Netflix untuk tular sekaligus ditonton. Tidak diketahui bilakah fungsi yang sama akan diberikan kepada aplikasi Android.