Cari @ Amanz

Pernah atau tidak anda bayangkan jika sebuah telefon pintar itu tiada langsung port sambungan, tiada ‘lubang’ pembesar suara, tiada butang kuasa atau tiada langsung butang kawal suara? Jika pernah bagaimana anda rasa rekaan telefon pintar ini?

Hari ini, anda tidak lagi perlu bayangkan – kerana Meizu telah melancarkan peranti yang sedemikian. Meizu Zero adalah peranti pertama dunia yang tiada langsung port penegcasan, bicu audio, ‘lubang’ pembesar suara dan apa jua butang. Sayang sekali, ia dijana dengan Snapdragon 845 bukannya 855. Sekali imbas, ia hanya mempunyai skrin, badan peranti dan kamera. Meizu Zero menggunakan rekaan seramik unibody, bateri yang besar, perlindungan kalis air dan debu IP68 dan teknologi menyahkunci peranti yang lebih pantas.

Disebabkan tiada lubang pembesar suara, Meizu Zero menggunakan mSound 2.0 iaitu pembesar suara dalam skrin. Menurut Meizu, pembesar suaranya mempunyai kualiti audio yang lebih baik dari biasa. Skrin pula adalah 5.99-inci AMOLED yang melengkung kedua-dua sisi, pengimbas cap jari dalam skrin dan kamera swafoto adalah 20-megapixel dengan sokongan imbasan wajah. Kamera utama adalah 12+20 megapixel dengan sistem kecerdasan buatan Meizu’s One Mind AI Smart 2. Untuk butang kuasa dan aras suara, ia menggunakan butang haptik dengan enjin mEngine 2.0 yang menjadikan butang virtual seakan butang fizikal.

Untuk pengecasan, Meizu Zero menyokong pengecasan nirwayar pantas 18W Super mCharge Wireless. Untuk pemindahan data pula, peranti perlu diletakkan pada atas pad pengecas nirwayar dan sambung ke PC. Ia menggunakan USB 3.0. Alternatif lain adalah menggunakan Bluetooth 5.0. Ini adalah telefon pintar yang langsung tiada lubang, jadi ia tidak mempunyai slot simkad. Untuk rangkaian ia perlu menggunakan e-Sim.

Tiada butiran lanjut yang dikongsikan oleh Meizu, seperti saiz bateri, RAM atau storan, harga jualan atau lain-lain lagi. Sistem operasi pula masih lagi Android Oreo dengan antaramuka Flyme 7. Sama-sama kita nantikan butiran lebih lanjut kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd