Cari @ Amanz

Xiaomi Mi MIX 3
Skrin 6.39” AMOLED, FHD+
Nisbah 19.5:9, 403 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz
4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 6GB RAM
Storan 128GB UFS 2.1
Tiada slot mikroSD
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 12MP (telefoto)
Kamera Hadapan 24MP + 2MP
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0, NFC
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem MIUI 10
Android 9.0 Pie
Bateri 3200 mAh, Quick Charge 4+
Dimensi 157.9 x 74.7 x 8.5 mm
Berat & Ketebalan 218g, 8.5mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Menghasilkan peranti berskrin penuh adalah satu usaha yang amat diutamakan oleh pengeluar hari ini. Era penghasilan peranti ini walaupun dilihat berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini, ia sebenarnya telah dimulakan sekitar tahun 2014. Peranti Sharp Aquos Crystal telah menjadi pemangkin kepada rekaan seperti ini, dengan menampilkan bahagian skrin tanpa bingkai yang tebal pada bahagian atas.

Kemudian, semangat ini diteruskan oleh Xiaomi pada tahun Oktober 2016 menerusi perkenalan Xiaomi Mi MIX. Ia berjaya menarik perhatian ramai dengan rekaan skrin hampir sepenuhnya dengan menampilkan paparan sebesar 6.4-inci. Ia ditempatkan pada kelas peranti berkuasa atas kehadiran cip Snapdragon 821 dan penawaran memori sehingga 6GB RAM.

Xiaomi pada tahun berikutnya telah melancarkan Xiaomi Mi MIX 2 dengan rekaan yang lebih kompak bersama spesifikasi yang ditambahbaik. Ia dilihat lebih selesa untuk dipegang, selain mendatangkan cip pemprosesan Snapdragon 835. Peranti ini juga telah mengembalikan semula saluran pendengaran (earpiece) tradisional bagi menggantikan sistem getaran tubuh peranti pada Mi MIX asal yang mengundang kepada isu privasi.

Pada tahun lalu, Xiaomi buat pertama kalinya menawarkan model “S” untuk siri Mi MIX ini dengan perkenalan Xiaomi Mi MIX 2S. Ia membawa rekaan yang serupa seperti Mi MIX 2, namun dengan penjenamaan model “S” seperti iPhone, ia hanya hadir dengan sejumlah perubahan kecil. Ia membawa tiga pembaharuan, iaitu penyertaan dwi-kamera, cip Snapdragon 845, dan mempunyai sistem pengecasan tanpa wayar berasaskan Qi Wireless Charging.

Xiaomi Mi MIX 3 adalah iterasi ke-empat bagi siri Mi MIX dengan membawa tiga perubahan besar pada iterasi kali ini. Ia kini tidak lagi menawarkan rekaan dagu yang tebal tetapi sebaliknya, menggunakan mekanisme baru untuk penghasilan peranti berskrin penuh. Ia juga membawakan panel skrin dan keupayaan kamera yang ditambah baik, yang mana kami akan ceritakan mengenainya di dalam ulasan ini.

Rekaan

Sebagai permulaan, Xiaomi Mi MIX 3 didatangkan dengan skrin AMOLED pada saiz 6.39-inci, cip Snapdragon 845, dan di Malaysia, ia menawarkan konfigurasi 128GB dan memori 6GB RAM. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, NFC, bersama kapasiti bateri 3200 mAh.

Apa yang menjadi keunikan pada peranti ini adalah dari segi rekaannya yang kini masih tidak menampilkan rekaan bertakuk. Jadi untuk meletakkan kamera hadapan, sensor, dan saluran earpiece, Xiaomi telah menyertakannya pada bahagian yang boleh diluncurkan secara manual. Teknik ini juga telah digunakan pada peranti Honor Magic 2 yang mana turut membawa mekanisme peranti yang boleh diluncurkan.

Sekiranya anda risau, Xiaomi mengatakan bahagian ini mempunyai ketahanan sekitar 300,000 kali pembukaan atau kira kira 8 tahun sekiranya anda membuka bahagian ini sebanyak 100 kali sehari. Cuma ketika tangan dalam keadaan kering sepenuhnya, saya dapati rekaan ini agak sedikit sukar untuk dikeluarkan, dengan memerlukan anda mengesatkan sedikit jari untuk memudahkan anda mengeluarkannya. Perkara ini sedikit sebanyak membuatkan saya jarang menggunakan kamera hadapan ataupun menggunakan fungsi imbasan wajah sepanjang menguji peranti ini.

Xiaomi juga turut membolehkan peranti ini mengaktifkan sesuatu perkara ketika anda meluncurkan bahagian skrin ini. Anda boleh mengaktifkan kamera hadapan, mengeluar paparan widget, dan membuka aplikasi pilihan. Tetapi apa yang menarik, anda boleh mengubah bunyi pada halaman slider settings ini, dengan lima pilihan bunyi yang boleh dipilih oleh pengguna.

Dengan perletakkan kamera pada bahagian yang boleh diluncurkan ini, rekaan bezel di bahagian bawah telah berjaya dikecilkan untuk membolehkan nisbah binaa ke skrin peranti mencapai 93.4%. Xiaomi juga telah menaiktaraf paparan Mi MIX 3 ini kepada panel AMOLED, yang dilihat jauh lebih terang berbanding panel IPS LCD pada generasi Mi MIX terdahulu.

Bahagian belakangnya masih menampilkan binaan seramik, bersama binaan sisi yang dibina berasaskan logam siri 7000. Saya dapati binaan seramik ini membuatkan peranti ini sedikit berat, sekaligus memerlukan anda berhati-hati ketika memegangnya pada sebelah tangan. Mujur Xiaomi ada membekalkan askesori perlindungan peranti percuma bagi memberi cengkaman yang lebih baik ketika memegang peranti ini.

Ia tidak menampilkan pengimbas cap jari di bawah skrin seperti Mi 8 Pro, dengan mengekalkan lokasi yang sama iaitu pada bahagian belakang. Ia bertindak sangat pantas seperti yang ditawarkan pada Xiaomi Mi MIX 2 dan 2S. Fungsi imbasan wajahnya juga dapat bertindak balas dengan baik, yang mana boleh diaktifkan apabila anda meluncurkan skrin ke bawah.

Butang pembesar suara dan butang kuasa masih ditempatkan pada bahagian kanan, dan di bahagian kiri, ia menempatkan slot dwi-sim bersama butang baru untuk mengaktifkan fungsi Google Assistant. Di bawahnya terdapat sambungan USB-C, namun tidak menyajikan sebarang bicu audio dan IR blaster pada mana-mana bahagian. Cuma perkara yang sedikit mengecewakan, ia tidak didatangkan dengan pembesar suara stereo sekaligus memerlukan anda bergantung pada pembesar suara mono di bahagian bawah.

Sistem

Xiaomi Mi MIX 3 dijana dengan antaramuka MIUI 10, yang dijalankan bersama sistem operasi Android 9.0 Pie. Ia menampilkan antaramuka yang kemas dan moden dengan mengambil sedikit inspirasi daripada rekaan Android P. Anda boleh lihat antaramuka yang diperbaharui ini melalui talam notifikasi dan panel pelarasan suara.

MIUI 10 turut menyajikan paparan pertukaran aplikasi baru dengan paparan preview berbilang aplikasi. Anda juga boleh mengaktifkan kawalan gesture untuk memudahkan anda ke skrin utama atau membuat pertukaran aplikasi melalui kawalan seumpama iPhone X. Seperti iterasi MIUI sebelum ini juga, anda boleh membuat pertukaran tema, melalui sejumlah pilihan tema yang boleh dimuat-turun.

MIUI 10 turut menyajikan beberapa fungsi asas seperti One-handed Mode untuk memudahkan kawalan peranti melalui satu tangan. Fungsi Dual Apps pula membenarkan anda membuat klon sesuatu aplikasi yang mana turut boleh dilakukan untuk aplikasi berasaskan permainan. Anda juga boleh menggunakan fungsi Second Space untuk mengasingkan ruang peribadi dan kerja anda dengan kebolehan log masuk akaun dan memasang aplikasi yang berlainan.

Prestasi

Dari segi prestasi, Mi MIX 3 dijana dengan cip yang sama digunakan pada kesemua peranti berspesifikasi tinggi pada tahun 2018, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz + 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 630. Cip ini sememangnya mampu menggalas tugasan harian dengan pantas, selain membolehkan anda memainkan permainan terkini seperti Fornite dan PUBG Mobile pada tetapan grafik tertinggi.

Dengan penggunaan seramik, pengeluaran habanya amat terkesan kepada suhu persekitaran. Sekiranya anda bermain permainan dalam lokasi yang panas, binaan belakang peranti ini akan mudah terasa suam. Tetapi sekiranya dimainkan di dalam persekitaran yang sejuk, binaan ini dapat mengurangkan haba dengan efektif ketika melakukan perkara intensif.

Kamera

Untuk fungsi penggambaran, Mi MIX 3 membawakan teknologi kamera seumpama Xiaomi Mi 8, dengan penggunaan sensor utama 12MP (f/1.8, 1/2.55″, 1.4µm, PDAF, OIS) dan sensor telefoto 12MP (1/3.4″, 1.0µm). Dengan penggunaan OIS, ia dapat mengurangkan kesan gegaran dengan lebih baik berbanding bergantung kepada penstabilan imej berasaskan elektronik (EIS). Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan dua tona warna.

Hasil penggambarannya dilihat menyerupai seperti Xiaomi Mi 8 dengan julat dinamik (dynamic range) yang seimbang bersama hasilan kesan hingar (noise) yang minima. Namun warnanya kini kelihatan lebih neutral, tidak terlalu saturated, selain mampu menghasilkan keperincian imej yang lebih tajam. Dengan penyertaan Dual Pixel PDAF, keupayaan penfokusannya juga dilihat pantas dan tidak mengalami isu focus hunting.

Apa yang menarik, ia turut dilengkapi dengan fungsi Night Mode bagi membolehkan anda mengambil gambar malam yang lebih terang dan menawan. Ia memerlukan anda menunggu seketika kerana ia mengambil 8 gambar dengan exposure yang berlainan dan kemudian menyatukannya menjadi sebuah gambar. Kualitinya juga dilihat baik kerana ia tidak memberi kesan sharpening yang terlalu agresif seperti peranti OnePlus dan OPPO.

Seperti Mi MIX 2s, ia juga masih memberi kebolehan zoom optikal sebanyak 2 kali melalui penggunaan sensor telefoto 54mm. Ia amat memudahkan anda mendapatkan gambar subjek secara dekat walaupun anda tidak berhampiran dengan subjek tersebut. Untuk kualitinya, kesan white balance terdapat sedikit perbezaan apabila anda membuat pertukaran dari sensor utama ke sensor telefoto ini.

Xiaomi juga turut menampilkan sistem dwi-kamera hadapan pada Mi MIX 3 ini dalam membolehkan kesan bokeh dihasilkan dengan lebih baik. Ia membawakan sensor utama 24MP dan dan sensor kedua 2MP untuk penghasilan bokeh ini. Hasilnya juga kelihatan sangat baik, dengan memberi keperincian swafoto yang tajam, bersama kesan bokeh yang kemas apabila menggunakan fungsi Portrait Mode.

Untuk segi fungsi, ia menyokong rakaman sehingga 4K@60fps manakala rakaman gerak perlahan ditawarkan dalam 1080p@120fps dan 720p@960fps. Ia turut membawakan fungsi Studio Lighting yang membolehkan pengguna mendapatkan sejumlah simulasi pencahayaan seumpama di dalam studio. Ia turut menyajikan kawalan Manual Mode, dengan kebolehan untuk mengubah white balance, fokus, shutter speed (1/1000s-32s), ISO (100-3200), dan jenis lensa (wide/tele).

Bateri

Kapasiti baterinya telah dikurangkan kepada 3200 mAh berbanding 3400 mAh pada Mi MIX 2s, yang mana satu langkah ke belakang untuk sebuah peranti yang menarik ini. Dengan kapasiti ini, bacaan masa nyalaan skrin (screen-on-time) mampu mencapai sekitar 4 – 5 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Bacaan ini dilihat sederhana kerana rata-rata peranti sekelasnya telah pun berjaya mencapai penggunaan melebihi 6 jam. Ia menyokong Quick Charge 4+, namun dengan pengecas Quick Charge 3.0 yang disediakan, ia mampu mengecas peranti ini sekitar 1 jam 32 minit dari 0-100%.

Seperti Mi MIX 2s, Mi MIX 3 turut mengekalkan fungsi Qi Wireless Charging untuk sokongan pengecasan tanpa wayar. Tetapi perkara yang menjadi buah mulut orang ramai, pengecas tanpa wayar berasaskan 10W turut disertakan di dalam kotak pembelian peranti yang mana jarang diberikan oleh pengeluar masa kini. Dengan penggunaan pengecas Qi ini, ia mampu mengecas peranti sekitar 2 jam 18 minit dari 0-100%.

Rumusan

Jadi berbaloi kah anda membeli Xiaomi Mi MIX 3 ini? Pertama sekali, sekiranya anda mencari peranti yang mempunyai pembesar suara stereo, bicu audio, slot kad mikroSD, dan sokongan kalis air, peranti ini tidak menepati penggunaan untuk anda. Ia juga didatangkan dengan kapasiti bateri yang sedikit rendah, jadi ia kurang disyorkan bagi pengguna yang sering melakukan perkara intensif sepanjang hari.

Tetapi sekiranya anda ingin mencari peranti dengan rekaan skrin penuh tanpa takuk, keupayaan kamera yang seimbang, dan prestasi yang pantas, Xiaomi Mi MIX 3 ini ialah telefon yang sangat disyorkan untuk anda. Kapasiti baterinya walaupun hanya 3200 mAh, ia masih mampu bertahan sepanjang hari bagi anda yang menggunakan peranti secara kasual. Pemberian pengecas tanpa wayar secara percuma juga dilihat sangat berguna dalam meningkatkan lagi penggunaan sistem pengecasan ini.

Pro
  • Rekaan skrin sepenuhnya tanpa takuk yang mengganggu atas peranti.
  • Binaan belakang berasaskan seramik memberi penampakan peranti yang mewah dan elegan.
  • Penggunaan panel berasaskan AMOLED memberi paparan yang terang untuk kegunaan multimedia.
  • Prestasi yang berkuasa untuk kegunaan harian dan permainan.
  • Keupayaan kamera hadir dengan sistem penstabilan OIS dan kebolehan zoom optikal dua kali.
  • Hasilan gambar yang sangat baik untuk penggambaran waktu siang dan malam.
  • Menyokongan rakaman 4K@60fps dan gerak perlahan 720p@960fps.
  • Menyokong sistem pengecasan Qualcomm Quick Charge 4+ dan Qi Wireless Charging.
  • Pengecas tanpa wayar dibekalkan secara percuma di dalam kotak pembelian peranti.
Kontra
  • Kapasiti bateri yang kurang sesuai untuk kegunaan intensif.
  • Tiada sambungan bicu audio 3.5mm.
  • Tiada slot kad mikroSD.
  • Tiada pengesahan Ingress Protection untuk perlindungan daripada debu dan air.
  • Tiada pembesar suara stereo.
  • Bahagian yang boleh diluncurkan agak sukar untuk dikeluarkan ketika tangan kering sepenuhnya.

Xiaomi Mi MIX 3 telah ditawarkan pada harga RM2199 untuk pilihan warna asas Onyx Black. Sekiranya anda ingin mendapatkan warna Jade Green dan Sapphire Blue, ia ditawarkan pada harga yang sedikit tinggi iaitu pada harga RM2299. Bagi anda yang menantikan variasi yang lebih berkuasa, peranti ini juga bakal hadir dengan konfigurasi 5G melalui Snapdragon 855, yang mana mungkin diperlihatkan pada acara MWC 2019 ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd