Motorola Mempatenkan Rekaan Telefon Pintar Tanpa Butang Fizikal

Motorola Mempatenkan Rekaan Telefon Pintar Tanpa Butang Fizikal

Diterbitkan pada Jan 24, 2019 oleh .

Semalam Meizu Zero diumumkan yang merupakan telefon pintar pertama tanpa sebarang butang atau lubang fizikal pada bahagian tubuh. Ia digantikan dengan butang haptik dan pengecasan nirwayar sepenuhnya. Konsep ini menarik tetapi kurang praktikal seperti yang kami alami sendiri dengan HTC U12+ sebelum ini. Sungguhpun begitu trend “nirbutang” ini mungkin akan menjadi ikutan Motorola pula.

Dokumen paten mereka diterbitkan di laman WIPO pada 17 Januari lalu menunjukkan peranti yang tidak mempunyai sebarang butang fizikal. Berbeza dengan HTC U12+, peranti boleh mengenali genggaman pengguna dan mengubah lokasi butang pada sisi mengikut keselesaan pengguna. Kedudukan butang kawalan juga berubah apabila berada pada kedudukan mendatar atau menegak.

Pada skrin terdapat pengimbas cap jari dan paparan butang kuasa. Paten rekaan ini amat menarik dan berbeza dengan sistem sedia ada. Sungguhpun begitu kewujudan paten tidak bermaksud peranti nirbutang ini akan dihasilkan oleh Motorola dalam masa terdekat.

Sumber WIPO menerusi 91Mobile


TIPS & ULASAN