Carian
Apple Mungkin Tidak Menyertakan Sokongan Face ID Pada iPad Versi Biasa
January 27, 2019 Effi Saharudin

Apple melalui iPad Pro baru pada tahun lepas telah memperkenalkan rekaan yang dikemaskini dan lebih menarik. Namun, bagi anda yang nantikan rekaan yang lebih kurang sama pada iPad biasa bersaiz 9.7-inci, anda mungkin perlu nantikan untuk masa yang lama lagi.

Terkini, melalui kod pembangunan yang ditemui pada iOS 12.2 beta baru, ia didapati yang mana empat iPad baru (iPad 9.7-inci dan iPad Mini) mungkin tidak menyertakan sokongan Face ID, dan mengekalkan penggunaan Touch ID padanya.

Desas-desus mengenai iPad baru telah hadir sejak beberapa bulan lepas, dan berkemungkinan kita akan mendengar mengenainya dalam masa terdekat.

https://twitter.com/stroughtonsmith/status/1088946309833375745

Sekiranya Apple mengekalkan penggunaan Touch ID, maka kita mungkin akan melihat rekaan iPad lama dikekalkan – dan bukannya seperti yang dibawakan oleh iPad Pro baru. Selain itu, ketiadaan Face ID juga mungkin membolehkan Apple mengekalkan kos iPad berkenaan pada harga rendah berbanding versi Pro.

Apa pun, spekulasi ini hadir berdasarkan kepada kod pada iOS 12.2 beta yang terbaru – dan mungkin terdapat beberapa perubahan pada versi akhir kelak. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang disediakan Apple pada iPad baru mereka kelak selain daripada hanya kemaskini cip pemprosesan sahaja.

Komen