Cari @ Amanz

“Angkasa lepas ialah perbatasan terakhir” ialah ungkapan popular Kapten Jen Luc Picard dari siri Star Trek. Manusia setakat ini hanya sempat ke bulan dengan perancangan untuk mengembara pula ke planet Marikh dalam masa enam tahun sahaja lagi. Sebelum misi berbahaya ini dilakukan, pelbagai kajian sedang dilakukan bagi melihat kesan jangka pendek dan panjang terhadap angkasawan ketika melakukan misi.

Menurut kajian terkini Jabatan Fisiologi Gunaan dan Kinesiologi, Universiti Florida, jirim putih angkasawan menunjukkan pengecutan selepas menjalan misi. Kawasan jirim putih yang terjejas adalah pada daerah otak yang mengawal pergerakan dan maklumat deria. Otak 15 orang angkasawan dikaji sebelum dan selepas menjalankan misi bagi melihat perbezaan yang berlaku.

Pengecutan dipercayai berlaku kerana kesan hidup di dalam situasi graviti sifar. Angkasawan tidak menggunakan otot pada anggota untuk bergerak seperti di bumi dan akibatnya daerah otak yang mengawal pergerakan dan maklumat deria mengecut kerana tidak diperlukan dengan kerap.

Dalam kajian yang sama otak angkasawan didapati terapung lebih tinggi di dalam kepala sekali lagi kerana kesan graviti sifar. Cecair di dalam tubuh angkasawan terkumpul pada bahagian kepala. Tekanan cecair ini mendatangkan impak kepada otak dan juga penglihatan menjurus kepada sindrom dimana penglihatan angkasawan terjejas selepas pulang ke bumi. Kesan ini dilihat bertahun selepas mereka kembali.

Sedikit berita baik di dalam kajian ini ialah jirim putih kembali berkembang beberapa minggu selepas angkasawan kembali ke bumi. Kajian ini akan diteruskan untuk melihat kesan jangka panjang penyusutan jisim putih terhadap tubuh angkasawan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd