Cari @ Amanz

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), butiran peribadi 14200 orang yang positif penyakit HIV di Singapura telah tertiris. Butiran-butiran yang tertiris termasuklah nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat kediaman, keputusan ujian HIV dan maklumat kesihatan.

Menurut menteri kesihatan Singapura, Chan Heng Kee, butiran-butiran yang tertiris terbahagi kepada butiran rakyat Singapura yang sebanyak 5400 orang dan butiran rakyat asing sebanyak 8800 orang.

Kerajaan Singapura menyimpan maklumat pesakit-pesakit HIV ini dibawah Akta Penyakit Berjangkit (Infectious Diseases Act), dan menggunakan maklumat tentang pesakit-pesakit ini untuk meneliti dan mengesyorkan cara-cara untuk mengekang penyebaran penyakit tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan Singapura telah mengesahkan bahawa maklumat-maklumat pesakit HIV tersebut tertiris melalui seorang individu bernama Mikhy K Farrera Brochez yang pernah dipenjara kerana kesalahan membabitkan dadah pada tahun 2016, dan telah dihantar keluar daripada Singapura pada tahun 2018.

MOH Singapura mengatakan mereka juga telah menutup tirisan yang menyebabkan isu tersebut, dan telah menghubungi beberapa individu yang terkesan oleh tirisan tersebut, dan kini sedang meminta bantuan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti atas talian yang berkaitan dengan maklumat-maklumat yang tertiris tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd