Nestle, Pepsi Dan Axe Akan Menawarkan Langganan Untuk Bungkusan Kitar Semula

Nestle, Pepsi Dan Axe Akan Menawarkan Langganan Untuk Bungkusan Kitar Semula

Diterbitkan pada Jan 29, 2019 oleh .

Zaman sekarang, perkhidmatan langganan adalah trend untuk mendapatkan sesuatu dengan lebih mudah dan/atau lebih menjimatkan duit. Untuk hiburan kita ada Netflix, Spotify atau membaca komik kita ada ComiXology. Bagaimana dengan makanan, minuman atau kelengkapan harian?

Loop adalah perkhidmatan tersebut. Tetapi fokus Loop bukanlah untuk menawarkan makanan, minuman, kelengkapan tandas atau kelengkapan harian seseorang dalam bentuk langganan. Tetapi adalah untuk fokus kepada alam. Ini kerana, mana-mana syarikat yang kerjasama dengan Loop – produk-produk mereka akan hadir dalam bungkusan yang mesra alam dan boleh digunakan semula.

Contoh, selepas pengguna habis makan, minum atau gunakan – bekas makanan, botol minuman, botol sabun atau deodoran perlu dimasukkan dalam satu kotak khas untuk Loop kutip dan diguna semula. Segala proses kutipan dan pembersihan akan diuruskan oleh Loop. Pengguna juga boleh menjadualkan bila Loop akan kutip semula kotak khas tadi.

Syarikat yang bekerjasama dengan Loop seperti Pepsi, Nestle, Oral-B, Axe, Pantene, Quacker Oat atau banyak lagi – perlu reka sendiri dan sediakan sendiri bungkusan mereka yang sesuai dengan kehendak Loop, agar boleh diguna semula. Loop bekerjasama dengan syarikat penghantaran UPS untuk proses penghantaran dan proses mengutip.

Harga langganan Loop dikatakan adalah sama sahaja dengan harga asal setiap produk. Cuma, deposit dari $1 (~RM4) hingga $10 (RM41) perlu dibayar dan caj penghantaran $20 (~RM82) akan dikenakan. Perkhidmatan Loop buat masa ini adalah dalam fasa ujian dan hanya diuji di Paris, New York, New Jersey, dan Pennsylvania terlebih dahulu.


TIPS & ULASAN