SteelSeries Melancarkan Stratus Duo – Alat Kawalan Yang Mudah Ditambat Pada Banyak Platform

SteelSeries Melancarkan Stratus Duo – Alat Kawalan Yang Mudah Ditambat Pada Banyak Platform

Diterbitkan pada Jan 30, 2019 oleh .

SteelSeries sedia terkenal dengan produk-produk yang berkaitan dengan permainan video. Antaranya adalah papan kekunci, set fon kepala atau juga alat kawalan. Tetapi, permainan ada banyak platform – konsol, permua atau PC. Bagaimana jika seseorang itu inginkan satu alat kawalan untuk semua?

SteelSeries Stratus Duo adalah alat kawalan yang hampir ke arah itu. Ia tidak menyokong kesemua platform, tetapi boleh bertukar-tukar antara Android, Oculus Go, Samsung Gear VR dan PC dengan satu butang sahaja. Untuk PC, ia perlu menggunakan dongle WiFi untuk membuat sambungan seperti mana-mana aksesori nirwayar USB lain. Manakala, untuk lain-lain tadi hanya perlu ditambat melalui Bluetooth sahaja.

Susun atur butang-butang alat kawalan adalah seakan Dualshock, tetapi butang-butang aksi A,X,B,Y adalah mirip Xbox. Alat kawalan ini turut menyokong lebih dari 5000 permainan dari Steam, jarak sambungan pula adalah sejauh 12 meter dan mempunyai bateri yang bertahan sehingga 20 jam atau lebih. Sayang sekali, kabel pengecasan buat Startus Duo masih lagi mikroUSB dan bukan USB-C.

Untuk memudahkan penggunaan pada telefon Android, aksesori pemegang perlu dibeli secara berasingan dengan tanda harga $10 (~RM41). Untuk alat Stratus Duo itu sendiri pula, dijual dengan tanda harga $59.90 – iaitu sekitar RM288.


TIPS & ULASAN