Xiaomi telah memulakan tahun ini dengan mengasingkan jenama Redmi sebagai sub-jenama tersendiri – sekaligus membolehkan mereka beroperasi secara berasingan dan hadir dengan penawaran produk yang menyaingi pelbagai jenama lain. Berbeza dengan jenama Mi yang kini memfokuskan peranti premium, jenama Redmi pula akan memfokuskan kepada penawaran telefon pintar pada harga yang menjimatkan dan kualiti baik.
Selari dengannya, kini CEO Redmi berkongsi pada laman sosial beliau, yang mana selepas kejayaan Redmi Note 7 yang diperkenalkan pada awal Januari lepas, kini mereka dalam persediaan untuk melancarkan dua lagi peranti – iaitu Redmi Note 7 Pro dan menariknya, satu lagi adalah peranti berasaskan Snapdragon 855.
Melalui perkongsian beliau, ia memperlihatkan mereka sedang membincangkan mengenai dua peranti akan datang ini. Namun, tiada maklumat penuh berkaitan dengannya dikongsikan buat masa ini.
Hal ini sekaligus mengesahkan desas-desus sebelum ini, dan akan menyaksikan penawaran telefon pintar berspesifikasi tinggi berjenama Redmi.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Redmi dengan Snapdragon 855 ini akan dilancarkan secara rasminya – tetapi semestinya ia sesuatu yang dinantikan ramai, apatah lagi dengan persaingan harga yang turut ditawarkan oleh Pocophone.