Cari @ Amanz

Android One merupakan piawaian teknikal daripada Google bagi membolehkan pengguna mendapatkan pengalaman Android terbaik di dalam peranti bukan hasilan Google. Antara manfaat daripada Android One ini, ia hadir dengan antaramuka Android asli, iaitu antaramuka Android asal tanpa diubah oleh pengeluar. Ia juga dijamin akan menerima sokongan sehingga 2 tahun, sekaligus membolehkan peranti Android One menerima kemaskini Android secara berterusan dalam tempoh ini.

Secara kasarnya, program Android ini membolehkan anda menikmati pengalaman Android seumpama di peranti Google Pixel, namun di bawah jenama dan harga yang berbeza. Tapi perlu diingatkan, segala kemaskini yang diberikan adalah usaha penuh daripada pengeluar, jadi reputasi pengeluar dalam mengeluarkan kemaskini ini juga perlu dititikberatkan.

Berbeza dengan Android asli, ia hanya membawa tampilan asli (stock) daripada antaramuka asal Android dan segala kemaskini adalah bergantung kepada pengeluar. Bermakna, pengguna Android asli ini tidak dijamin akan menerima kemaskini selama 24 bulan seperti mana yang dinikmati pada peranti Android One. Jadi sekiranya ada peranti yang tidak disenaraikan di dalam artikel ini, bermakna ia hanya menjalankan Android asli tanpa pengesahan program Android One.

Kami telah memilih beberapa peranti dengan program Android One di bawah RM1000 ini, yang mana dinilai berdasarkan sejumlah kriteria permilihan di bawah.

Kriteria Pemilihan

  • Telefon 2017 dan ke atas.
  • Dijana dengan program Android One secara rasmi.
  • Ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Selain itu, kesemua telefon yang dipilih di dalam artikel ini adalah berdasarkan set original pada harga terendah yang anda boleh dapat daripada pengedar-pengedar yang sah. Jadi bagi anda yang sedang mencari peranti baru dan program Android One ini menjadi keutamaan anda, ini dia senarai peranti Android One yang anda boleh dapat di bawah harga RM1000.


Nokia 3.1

Kita mulakan dahulu dengan Nokia 3.1 iaitu peranti kompak dengan penawaran skrin 5.2-inci. Ia membawakan rekaan kukuh berasaskan logam, selain memudahkan pengguna memegangnya pada sebelah tangan. Ia dijana dengan cip MediaTek lapan-teras, memori 3GB RAM, dan hadir dengan bateri berkapasiti 2990 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia menggunakan cip kelas lapan-teras kelas permulaan sekaligus hanya disyorkan untuk pengguna yang mengutamakan kegunaan asas. Kapasiti baterinya juga dilihat rendah apabila dibandingkan dengan peranti harga sekitarnya. Ia juga tidak membawakan fungsi dwi-kamera namun telah ditampilkan pada peranti penerusnya iaitu Nokia 3.1 Plus.

Spesifikasi:

  • 5.2” IPS LCD HD+ 18:9
  • MediaTek MT6750
  • 4 x Cortex-A53 1.3 GHz, 4 x Cortex-A53 1.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + mikroSD
  • 13MP f/2.0 / 8MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 2990 mAh, mikroUSB, pengecasan 5W

Harga: RM655 (3GB RAM + 32GB)


Nokia 3.1 Plus

Peranti seterusnya yang anda boleh dapat ialah Nokia 3.1 Plus yang merupakan peranti Nokia termurah dengan sokongan dwi-kamera. Ia hadir dengan paparan bersaiz 6.0-inci, cip Helio P22, dan turut mempunyai penawaran memori 3GB RAM. Ia juga membawakan sokongan dwi-kamera 12 dan 5MP, kamera hadapan 8MP, dan hadir dengan bateri berkapasiti 3500 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, ia tidak didatangkan dengan fungsi pengecasan pantas, namun anda masih boleh menggunakan pengecas 10W untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti. Ia juga hanya membawakan resolusi HD+ berbanding pesaingnya yang kebanyakannya telah sedia menggunakan resolusi FHD+.

Spesifikasi:

  • 6.0” IPS LCD HD+ 18:9
  • MediaTek Helio P22
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + mikroSD
  • 13MP f/2.0 + 5MP f/2.4 / 8MP f/2.2
  • Bluetooth 4.1, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 3500 mAh, mikroUSB, pengecasan 10W

Harga: RM699 (3GB RAM + 32GB)


Xiaomi Mi A2 Lite

Telefon ketiga yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi A2 Lite iaitu peranti Android One daripada Xiaomi dengan kapasiti bateri besar. Ia hadir dengan bateri sebesar 4000 mAh, cip Snapdragon 625, dan memori 3GB RAM. Ia juga hadir dengan sokongan dwi-kamera 12 dan 5MP, kamera hadapan 5MP, dan mempunyai sokongan IR blaster.

Cuma kekurangannya, ia masih menggunakan sambungan mikroUSB berbanding sambungan terkini berasaskan USB-C. Ia juga tidak menyokong sambungan WiFi 5GHz untuk membolehkan pengguna menyambungkan peranti ini ke rangkaian WiFi yang lebih pantas.

Spesifikasi:

  • 5.84” IPS LCD FHD+ 19:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + mikroSD
  • 12MP f/2.2 + 5MP / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 4000 mAh, mikroUSB, pengecasan 10W

Harga: RM729 (3GB RAM + 32GB)


Xiaomi Mi A1

Telefon keempat yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi A1 iaitu peranti pertama Xiaomi dengan Android One. Ia membawakan skrin bersaiz 5.5-inci, cip Snapdragon 625, dan hadir dengan memori 4GB RAM. Ia juga membawakan kamera dengan fungsi zoom optikal, sokongan IR blaster, dan bateri berkapasiti 3080 mAh.

Cuma kekurangannya, kapasiti baterinya agak sedikit rendah untuk kegunaan multimedia. Ia memadai untuk kegunaan harian, namun untuk kegunaan seperti tontonan video bersama permainan, kapasiti 3080 mAh ini pastinya akan menyingkatkan penggunaan peranti secara seharian.

Spesifikasi:

  • 5.5” IPS LCD FHD+ 16:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 4GB RAM / 32GB + mikroSD
  • 12MP f/2.2 + 12MP / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3080 mAh, USB-C, pengecasan 10W

Harga: RM549 (4GB RAM + 32GB)


Motorola One

Telefon kelima yang anda boleh dapat ialah Motorola One yang hadir dengan penawaran memori 4GB RAM. Ia membawakan skrin bersaiz 5.9-inci, cip Snapdragon 625, dan hadir dengan storan 64GB. Ia juga membawakan sokongan dwi-kamera 12 dan 2MP, kamera hadapan 8MP, dan menyokong pengecasan pantas 15W.

Cuma kekurangannya, kapasiti baterinya juga agak sedikit rendah untuk kegunaan harian. Sama seperti Xiaomi Mi A2 Lite, ia tidak menyokong sambungan WiFi 5GHz bagi membenarkan peranti ini disambung ke rangkaian WiFi yang lebih pantas.

Spesifikasi:

  • 5.9” IPS LCD HD+ 19:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + mikroSD
  • 12MP f/2.0 + 2MP / 8MP f/2.2
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 3000 mAh, USB-C, pengecasan 15W

Harga: RM849 (4GB RAM + 64GB)


Nokia 5.1 Plus

Anda juga boleh mendapatkan telefon Nokia 5.1 Plus yang membawakan cip Helio P60 pada harga di bawah RM900. Ia didatangkan dengan skrin 5.86-inci, cip Helio P60, dan memori 3GB RAM. Ia juga didatangkan dengan sokongan dwi-kamera 13 dan 5MP, kamera hadapan 8MP, dan bateri berkapasiti 3060 mAh.

Cuma kekurangan yang didapati pada peranti ini, kapasiti baterinya hanya sekadar memadai untuk kegunaan harian. Ia juga hanya menyajikan variasi 3GB RAM berbanding Motorola One yang sedia menawarkan memori 4GB RAM.

Spesifikasi:

  • 5.86” IPS LCD HD+ 19:9
  • MediaTek Helio P60
  • 4 x Cortex-A73 2.0 GHz, 4 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + mikroSD
  • 13MP f/2.0 + 5MP / 8MP f/2.2
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3060 mAh, USB-C, pengecasan 10W

Harga: RM899 (3GB RAM + 32GB)


Xiaomi Mi A2

Telefon terakhir yang anda boleh dapat ialah Xiaomi Mi A2 yang menyajikan kelajuan dan keupayaan kamera yang lebih baik berbanding model sebelumnya. Ia dijana dengan cip Snapdragon 660, memori 4GB RAM, dan mempunyai storan dalaman 64GB. Ia juga menyajikan sokongan dwi-kamera 12 dan 20MP, kamera hadapan 20MP, dan turut mempunyai sokongan IR blaster.

Cuma kekurangannya, kapasiti baterinya masih rendah untuk kegunaan harian yang lama. Ia juga tidak menampilkan sebarang slot kad mikroSD bagi penambahan storan luaran.

Spesifikasi:

  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 660
  • 4 x Kryo 260 2.2 GHz, 4 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 64GB
  • 12MP f/1.75 + 20MP f/1.75 / 20MP f/2.2
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3010 mAh, USB-C, Quick Charge 4+

Harga: RM899 (4GB RAM + 64GB)


Jadi itulah senarai telefon dengan Android One yang anda boleh dapati di bawah harga RM1000. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd