Carian
Ulasan: Nokia 8.1 – Pengganti Nokia 7 Plus Yang Lebih Hebat
February 3, 2019 Arib Ismail

Nokia 8.1
Skrin 6.18” IPS LCD
2160 x 1080, 408 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 710
CPU 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz
6 x Kryo 360 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 616
Memori 4GB RAM
Storan 64GB + slot mikroSD
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 13MP, 4K@30fps
Kamera Hadapan 20MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Sistem Android 9.0 Pie (Android One)
Bateri 3500 mAh, pengecasan 18W
Dimensi 154.8 x 75.8 x 8 mm
Berat & Ketebalan 180g, 8mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Tahun lalu, Nokia 7 Plus telah mencuri perhatian ramai atas penawan peranti kelas pertengahan premium dengan sokongan dwi-kamera ZEISS. Ia membawakan binaan logam 6000 series yang cukup unik, dengan salutan khas untuk memberi pengalaman memegang binaan seumpama seramik. Ia membawakan skrin 6-inci, cip Snapdragon 660, dan hadir dengan bateri berkapasiti 3800 mAh. Kini, pengganti kepada model Nokia ini telah hadir yang mana teruskan menerusi perkenalan Nokia 8.1.

Nokia 8.1 bukanlah peranti penerus kepada Nokia 8, tetapi lebih kepada peranti pembaharuan kepada Nokia 7 Plus. Perkara ini berlaku kerana Nokia ingin memanjangkan portfolio peranti mereka dengan “menjenamakan semula” siri Nokia 8 ini sebagai segmen peranti kelas pertengahan premium. Dengan “penjenamaan semula” ini, telefon berkuasa Nokia pada akan datang mungkin akan ditempatkan dengan siri angka yang lebih tinggi, yang berkemungkinan “Nokia 9”.

Dengan harga jualan RM1699, spesifikasi dan fungsi yang didatangkan pada Nokia 8.1 ini dilihat mempunyai nilai penaiktarafan yang berbaloi berbanding Nokia 7 Plus. Ia hadir dengan skrin yang lebih besar, cip yang lebih pantas, dan mempunyai keupayaan kamera yang ditambahbaik. Ia juga mempunyai rekaan yang lebih menarik sekaligus meningkatkan rupa paras.

Rekabentuk

Sebelum kita bercakap mengenai rekaannya, Nokia 8.1 hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan premium, seperti kehadiran skrin 6.18-inci Full HD+ dengan nisbah 19:9, cip Qualcomm Snapdragon 710, memori 4GB RAM, dan storan dalaman sebesar 64GB berserta sokongan kad mikroSD. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3500 mAh.

Dari segi binaannya, Nokia 8.1 hadir dengan sisi berasaskan logam dengan penampilan warna perak bersama kemasan berkilat. Di belakangnya hadir dengan binaan berasaskan kaca yang mampu memberi tampilan peranti yang cukup elegan. Memegang peranti ini terasa cukup kukuh di tangan, namun terasa agak sedikit licin apabila memegangnya. Ia tidak menawarkan sebarang silicon case di dalam kotak, namun pihak HMD Malaysia ada menyertakan silicon case pihak ketiga sebagai hadiah ketika membeli peranti ini.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim ditempatkan pada bahagian kiri. Slot dwi-sim ini menawarkan slot hibrid, dengan membolehkan anda meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim kedua. Di bahagian atas peranti, ia masih mengekalkan sambungan bicu audio, iaitu sambungan yang kerap dibuang pada peranti berkuasa. Di bahagian bawah, ia menempatkan sambungan USB-C namun hanya membawakan pembesar suara berasaskan mono.

Pada bahagian belakang, ia menampilkan sokongan dwi-kamera namun rekaan kameranya sedikit tersembul keluar. Di bahagian belakang ini turut menampilkan pengimbas cap jari, yang dilihat memberi tindak balas yang sederhana apabila dibandingkan dengan OPPO F9 dan Xiaomi Mi 8 Lite. Tidak seperti peranti sekelasnya, ia tidak menyajikan sebarang fungsi imbasan wajah, sekaligus mengurangkan satu pilihan sekuriti untuk kegunaan pengguna.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan skrin IPS LCD sebesar 6.18-inci, dengan penawaran resolusi Full HD+ pada nisbah 18.7:9. Kualiti paparan ini mampu memberi kualiti paparan yang baik, selain dapat memberi darjah pandangan skrin yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan. Menariknya, paparan ini turut menyokong HDR10 disamping memberi color gamut 96% dan nisbah kontras 1:1500 untuk membolehkan anda menonton video dengan warna yang lebih menawan.

Dari segi variasi, Nokia 8.1 hadir dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM + 64GB. Sekiranya anda pengguna kasual, storan dalaman 64GB ini dilihat mencukupi dengan penggunaan anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda memanfaatkan fungsi backup pada Google Photos. Tetapi sekiranya storan ini tidak mencukupi untuk anda, anda masih boleh memanfaatkan kad mikroSD sehingga 400GB. Di Malaysia, Nokia 8.1 hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja menerusi kombinasi warna Blue/Silver.

Sistem

Nokia 8.1 telah didatangkan dengan sistem operasi Android 9.0 Pie bersama sokongan program Android One. Program ini merupakan “technical standard” daripada Google bagi membolehkan pengguna mendapatkan pengalaman Android terbaik di dalam peranti bukan hasilan Google. Antara manfaat daripada Android One ini, ia hadir dengan antaramuka Android asli dan dijamin akan menerima kemaskini Android secara berterusan dalam tempoh 2 tahun.

Dengan penawaran Android asli, ia sekaligus menawarkan antaramuka yang sangat kemas, seperti mana yang dilihat pada peranti Google Pixel. Ia turut menyajikan bar navigasi baru, yang membolehkan anda menuju ke aplikasi lain dengan menggerakkan butang di bahagian bawah ini. Sekiranya anda tidak menyukai rekaan bertakuk, anda juga boleh mengaktifkan fungsi menyorokkan takuk melalui halaman Developer Settings.

HMD Global juga menyertakan beberapa aplikasi tambahan seperti aplikasi Support bagi memudahkan anda menguruskan waranti telefon ini. Ia juga menyertakan aplikasi FM Radio dengan kebolehan menyimpan saluran kegemaran tanpa had. Tetapi apa yang menarik, HMD telah menawarkan aplikasi Nokia Camera yang dikemaskini dengan antaramuka yang lebih kemas dan mudah untuk digunakan.

Prestasi

Nokia 8.1 dijana dengan cip yang sama seperti Xiaomi Mi 8 SE dan OPPO R17 Pro, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 710 bersama memori 4GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz (teras berkuasa) dan 6 x Kryo 360 Silver 1.6 GHz (teras efisien), selain dijana dengan GPU Adreno 616. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia berjaya mencatatkan masa sekitar 169,010, yang mana hampir mendekati cip Snapdragon 835 pada Nokia 8 (189,143). Untuk perbandingan dengan cip yang lain, cip Snapdragon 710 ini turut mendekati cip HiSilicon Kirin 970 pada Huawei Nova 4 dengan mata 174,109.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu memberi prestasi harian yang pantas, bersama pengalaman pertukaran aplikasi yang memuaskan melalui penggunaan memori 4GB RAM. Untuk prestasi permainan, permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan pada tetapan tinggi, dengan memberi bacaan frame rate yang lancar dan konsisten. Menariknya, ia juga boleh memainkan Fornite yang mana ia terhad kepada sejumlah cip pemprosesan untuk memainkan. Haba yang dikeluarkan juga sangat minima, walaupun ia digunakan secara intensif dalam tempoh jangka masa yang lama.

Kamera

Dari segi kameranya pula, Nokia 8.1 membawakan sensor utama 12MP f/1.8 bersama sensor kedua 13MP untuk membantu penggambaran Portrait Mode. Ia turut menawarkan sistem penstabilan imej optikal (OIS), namun saya dapati ia terhad kepada fungsi penggambaran biasa sahaja. Ia juga dilengkapi dengan LED flash bersama pencahayaan dwi-tona warna dalam memberi hasilan yang lebih neutral ketika ia digunakan.

Untuk kualitinya, ia membawa peningkatan yang jelas berbanding Nokia 7 Plus, terutama dinilai dari segi penggambaran pencahayaan yang rendah. Keperincian imejnya kini kelihatan lebih tajam untuk kebanyakan situasi, selain memberi hasilan hingar (noise) yang cukup minima. Ia juga memberi kawalan exposure yang lebih seimbang, disamping dapat menghasilkan perwarnaan yang lebih ke arah semula jadi.

Kamera hadapannya juga telah dipertingkat kepada 20MP f/2.0 berbanding 13MP pada Nokia 7 Plus. Namun hasilannya bagi saya agak kurang konsisten kerana ia sering menghasilkan kesan sharpening yang sedikit agresif. Apabila menggunakan fungsi Portrait Mode, kesan kaburnya kelihatan kurang sempurna apabila diteliti pada bahagian sisi subjek.

Dari segi fungsi, Nokia 8.1 mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps selain hadir dengan rakaman gerak perlahan 1080p@120fps. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti Pro Mode, Live Bokeh, Dual-Sight Mode, dan Panorama sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran. Ia juga menyajikan fungsi Stickers yang membolehkan anda bermain dengan sejumlah pelekat animasi yang menarik.

Untuk kualiti rakaman videonya, ia menawarkan rakaman yang stabil, namun bingkai rakamannya telah dipotong (cropped). Dari sini kita boleh rumuskan sistem OIS tidak digunakan sewaktu membuat rakaman video ini kerana ia sistem penstabilan imej elektronik (EIS) telah digunakan untuk menstabilkan rakaman. Tetapi apa yang menarik, ia menyokong Nokia OZO untuk membolehkan kamera merakam bunyi yang lebih menyeluruh sewaktu rakaman video ini. Untuk melihat hasil rakaman videonya, anda boleh rujuk pada minit 3:18 pada video ulasan di atas artikel ini.

Bateri

Nokia 8.1 masih menawarkan kapasiti bateri yang sedikit dikurangkan berbanding Nokia 7 Plus sebelum ini, dengan penawaran kapasiti 3500 mAh berbanding 3800 mAh. Namun dengan penggunaan cip 10nm melalui Snapdragon 710 ini, ia dilihat mampu memberi bacaan bateri yang setara seperti Nokia 7 Plus (Snapdragon 660, 14nm), dengan memberi masa penggunaan peranti yang lama.

Dengan kapasiti 3500 mAh dan padanan cip 10nm ini, Nokia 8.1 mampu menawarkan masa Screen-on-Time (SoT) yang cukup baik, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 21 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Dari segi masa pengecasannya, pihak HMD Global turut membekalkan pengecas 18W secara tersedia, dengan masa pengecasan peranti sekitar 1 jam 43 minit.

Rumusan

Nokia 8.1 menyajikan sebuah peranti yang cukup seimbang, bersama sejumlah penawaran fungsi premium pada sebuah peranti kelas pertengahan. Ia mempunyai binaan yang menawan, cip yang pantas, dan mempu memberi ketahanan bateri yang lama. Ia juga dilengkapi dengan fungsi penggambaran dwi-kamera Zeiss yang sangat baik dengan hasilan yang tajam bersama warna ke arah semula jadi.

Cuma kekurangan yang saya dapati, kualiti kamera hadapannya dilihat memberi kesan sharpening yang agresif, namun saya yakin, ia boleh diselesaikan melalui kemaskini perisian pada akan datang. Saya juga mengharapkan peranti mempunyai RAM yang lebih besar, kerana rata-rata peranti pada harga sekitarnya sudah pun dilengkapi dengan memori 6GB RAM. Selain itu, peranti ini juga tidak mempunyai pembesar suara stereo, yang mana ia telah sedia hadir pada Nokia 6 sebelum ini.

Pro
  • Hadir dengan rekaan kaca yang menawan dan elegan.
  • Mempunyai kualiti skrin terang melalui panel IPS LCD dan resolusi Full HD+.
  • Memberi prestasi yang pantas untuk kegunaan harian dan permainan.
  • Keupayaan kamera belakang dapat menghasilkan gambar yang tajam dengan perwarnaan ke arah semula jadi.
  • Memberi ketahanan bateri yang baik dengan bacaan SoT 6 jam 21 minit.
  • Dibekalkan dengan pengecasan pantas 18W.
  • Mengekalkan sambungan audio 3.5mm.
  • Hadir dengan slot dwi-sim dengan sokongan kad mikroSD.
  • Dijana dengan Android 9.0 Pie melalui program Android One.
Kontra
  • Keupayaan kamera hadapan kurang memuaskan.
  • Rakaman video tidak memanfaatkan fungsi OIS sepenuhnya.
  • Hanya menawarkan variasi 4GB RAM.
  • Tiada pembesar suara stereo.

Tetapi untuk harga peranti RM1699, ia sebuah peranti yang sangat baik kerana ia dapat memberi pengalaman peranti yang sangat memuaskan. Ia dijana dengan cip kelas pertengahan berkuasa, mempunyai keupayaan dwi-kamera ZEISS, dan hadir dengan bateri 3500 mAh. Bagi saya, peranti ini sangat mudah disyorkan untuk pengguna yang mengutamakan aspek kamera, prestasi, dan jangka hayat bateri yang baik dalam sebuah peranti Nokia yang cukup kukuh dan elegan.

Komen