Facebook Menyambut Ulang-Tahun Ke-15 – Mari Lihat Rangkuman Peristiwa Menarik Sepanjang 15 Tahun Lepas

Facebook Menyambut Ulang-Tahun Ke-15 – Mari Lihat Rangkuman Peristiwa Menarik Sepanjang 15 Tahun Lepas

Diterbitkan pada Feb 5, 2019 oleh .

Selamat hari lahir diucapkan kepada Facebook. Bersempena ulang tahun ke-15 Facebook kali ini, anda dapat melihat terdapat pelbagai perubahan dibawakan melalui penggunaan media sosial yang mana diterajui oleh Facebook untuk pengguna serata dunia.

Muncul sebagai platform interaksi pengguna yang terawal pada 2004, menjadikan ia sebagai media sosial yang mula popular sekitar tahun 2009 di rantau ini. Pada artikel kali ini, kami melihat kepada sejumlah revolusi dan perkara baru yang dibawakan oleh Facebook pada pengguna Asia Pasifik sehingga kini,

Bermula pada 2009 – 2015, Facebook telah mula bertapak di Asia Pasifik dengan menubuhkan penjabat induk mereka di Sydney, Australia. Berikutan itu, pada tahun yang sama juga mereka mula memperkenalkan butang Like mereka kepada pengguna sebagai tanda suka pada gambar atau status yang dimuat-naik oleh pengguna.

Pada tahun 2011-2014, Facebook telah memulakan gerakan kelestarian mereka dengan mewujudkan idea Safety Check untuk peristiwa gempa bumi yang berlaku di Jepun pada tahun 2011. Konsep ciri ini diteruskan di negara Filipina apabila berlakunya bencana taufan iaitu Typhoon Ruby pada tahun 2014. Ciri amaran ini dikeluarkan adalah sebagai langkah keselamatan Facebook kepada pengguna terhadap bencana alam yang berlaku disekeliling mereka.

Tahun yang sama turut mendapat beberapa perhatian lain, dan salah satu yang popular adalah Cabaran Ice Bucket oleh pengguna seluruh dunia khususnya di Australia. Manakala pelancaran kempen Amber Alerts selaku alat kepada misi pencarian kehilangan kanak-kanak di Korea Selatan turut digunakan pada bahagian suapan berita Facebook.

Sekitar tahun 2016 pula memperlihatkan kempen kesedaran Amber Alerts berjaya diaplikasikan di Malaysia, di mana seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang hilang telah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa. Tahun yang sama juga, Facebook mula melancarkan tagar #SheMeansBusiness – yang memperkasakan usahawan wanita dalam perniagaan. Sehingga kini, seramai 136,000 wanita telah berjaya dilatih melalui program berkenaan.

Pihak Facebook juga turut menunjukkan sokongan mereka kepada syarikat pemula dengan mewujudkan program Kumpulan Pembangun, yang disertai oleh 76 orang pembangun dari Facebook yang membantu hampir 100,000 perintis pembangun di serata Asia Pasifik.

Bagi tahun 2017, Facebook turut mencipta ruang pasaran Facebook Marketplace kepada pengguna apabila mereka melihat berlakunya interaksi yang aktif antara pengguna pada sesi jual beli di platform ini. Selain itu, Facebook turut melancarkan program Made By yang menyokong perusahaan kecil di tiga negara iaitu Korea, Malaysia dan Taiwan. Hampir 4000 lebih usahawan telah menjalani latihan dibawah program ini sehingga kini.

Melayari tahun 2018, selain menempatkan pusat induk maklumat Asia di Singapura, Facebook juga melancarkan kempen derma darah di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, dan Bangladesh. Para pengguna boleh mendaftar diri mereka melalui borang atas-talian di Facebook. Maklumat ini akan mereka kongsikan kepada pihak hospital beserta keperluan bank darah mengikut jenis darah yang diperlukan.

Berikutan itu, secara tidak langsung penglibatan Facebook bukan sahaja meliputi platform media pengguna sahaja namun ia turut memberi impak kepada ekonomi, persekitaran, politik dan budaya pengguna itu sendiri. Perihal ini terbukti apabila hampir 70% pengguna aktif Malaysia menggunakan Facebook sebagai platform perubahan kepada kehidupan mereka.


TIPS & ULASAN