Pandang Pertama AMD Radeon VII – Kad Grafik 7nm Pertama Di Dunia
AMD

Pandang Pertama AMD Radeon VII – Kad Grafik 7nm Pertama Di Dunia

Diterbitkan pada Feb 7, 2019 oleh .

Penantian untuk sebuah kad grafik AMD baru yang berkuasa bakal berakhir tidak lama lagi. Di acara Consumer Electronics Show, syarikat tersebut mengumumkan dua produk terbaru mereka, iaitu AMD Ryzen 3000 dan juga AMD Radeon VII, dimana kedua-duanya dibina menggunakan teknologi 7nm yang membolehkannya digerakkan dengan lebih cekap.

AMD Malaysia baru-baru ini menghantar sebuah unit kad grafik AMD Radeon VII kepada kami untuk diulas, dan ini adalah pendapat kami mengenai kad grafik terbaru daripada AMD.

Rekaan Dan Spesifikasi

Kad grafik AMD ini dihantar kepada kami di dalam sebuah kotak besar yang kami pasti bukan gambaran sebenar kotak yang akan digunakan apabila ia hadir di pasaran kelak. Di dalamnya ialah kad grafik Radeon VII tersebut dan juga sebuah plak yang boleh digunakan untuk menunjukkan kad grafik tersebut.

Dari segi rekaan, kad grafik AMD Radeon VII ini hadir dengan rangka yang diperbuat daripada aluminum, dan ia meliputi keseluruhan PCB kad grafik ini, dari atas, bawah, kiri dan kanan. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan tiga buah kipas bersaiz 90mm yang bertujuan untuk mengalirkan haba dari sirip penyejuk kad grafik tersebut.

Kad grafik Radeon VII ini juga dilengkapi dengan empat palam output video, iaitu tiga palam DisplayPort dan sebuah palam HDMI 2.0. Ketiadaan palam DVI-D yang biasanya hadir pada kad-kad grafik sebelum ini adalah kebarangkalian besar kerana AMD ingin memasarkan Radeon VII sebagai sebuah kad grafik premium untuk pembina yang ingin bermain permainan komputer pada resolusi 4K, dan palam tersebut tidak akan mampu menggerakkan resolusi lebih tinggi daripada Full HD.

Menguasakannya ialah dua buah palam kuasa PCIe 8-pin, dan AMD turut menyatakan bahawa ia mempunyai TDP setinggi 300W yang pada pendapat saya agak tinggi.

Dari segi spesifikasi dalaman, kad grafik ini dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik Vega yang dibina menggunakan teknologi 7nm. Ia mempunyai 3840 teras GCN (Graphics Core Next) dan memori HBM 2.0 sebanyak 16GB,

Ia memperlihatkan jumlah teras GCN yang lebih rendah daripada kad grafik AMD Radeon Vega 64 (4096 teras) sebelum ini, tetapi Radeon VII mempunyai memori HBM 2.0 yang lebih baru dan lebih banyak berbanding dengan Vega 64.

AMD memasarkan kad grafik Radeon VII sebagai sebuah kad grafik berkuasa tinggi yang boleh digunakan untuk menggerakkan permainan komputer pada resolusi 4K, dan akan bersaing dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 di pasaran dari segi prestasi grafik.

Ciri-Ciri

Binaan cip Vega menggunakan proses 7nm ini boleh dikatakan salah satu daripada ciri-ciri yang hadir pada kad grafik ini. Ini adalah kerana ia membolehkan kad grafik Radeon VII ini hadir dengan kelajuan asas 1450MHz dan kelajuan Boost Clock setinggi 1800MHz.

Bukan itu sahaja, menurut AMD ini membolehkan kad grafik tersebut digerakkan dengan jumlah kuasa yang lebih rendah, tetapi dengan TDP (Total Drawn Power setinggi 300W, ini mungkin adalah kerana mereka ingin meningkatkan kelajuan pemproses grafik tersebut pada kadar yang lebih tinggi daripada kad grafik sebelum ini.

Ciri yang kedua yang hadir pada kad grafik ini ialah sokongan untuk teknologi paparan AMD FreeSync 2 HDR dimana kad grafik ini hadir dengan sokongan variable framerate yang dikemaskini, sela-masa input yang lebih rendah, dan yang paling penting ialah sokongan untuk teknologi HDR (High Dynamic Range) seperti HDR10.

FreeSync 2 bukanlah sesuatu yang baru, tetapi buat masa sekarang, paparan skrin yang hadir dengan sokongan tersebut tidak banyak, lebih-lebih lagi paparan yang menyokong teknologi HDR untuk output warna yang lebih berseri.

Ini hampir sama dengan sokongan teknologi untuk GSYNC Ultimate yang juga baru diperkenalkan oleh NVIDIA yang turut hadir dengan sokongan untuk HDR10.

Perbezaan paling ketara diantara kedua-dua kad grafik ini semestinya melalui sokongan untuk Raytracing secara langsung dan juga Deep Learning Super Sampling yang menggunakan kecerdasan buatan untuk membolehkan pengguna menggerakkan grafik pada resolusi lebih tinggi dengan lebih cekap.

Pengalaman Pengguna

Kad grafik ini menggunakan dua slot pengembangan di belakang komputer, dan ini agak bagus untuk sebuah kad grafik berkuasa tinggi kerana kad-kad grafik berkuasa kebelakangan ini biasanya akan menggunakan 2 1/2 ataupun tiga slot pengembangan.

Kad grafik Radeon VII ini juga mempunyai nama dan logo Radeon yang hadir dengan LED berwarna merah yang akan menyala apabila komputer dipasang.

Memasang kad grafik ini ke slot pengembangan PCIe adalah cukup mudah sekali, tetapi oleh kerana kad grafik ini agak berat, anda perlu mengetatkan skru pada slot pengembangan rangka komputer dengan ketat untuk mengurangkan isu kad grafik kendur pada papan induk.

Penafian: Untuk pandang pertama ini, kami diberi perisian grafik khusus untuk pihak media, dan kami tidak boleh menggunakan perisian Radeon Software Adrenalin 2019 yang rasmi kerana ia tidak boleh dipasang apabila kami menggunakan kad grafik Radeon VII.

Kami menunggu untuk pihak AMD untuk mengeluarkan perisian rasmi sebelum kami terus melakukan ulasan penuh untuk kad grafik ini, dan kami akan terangkan mengapa.

Diantara permainan yang sempat kami uji adalah Battlefield V, Final Fantasy XV dan juga Wolfenstein II The New Colossus. Sayangnya, kami tidak mempunyai paparan 4K untuk menguji kad ini buat masa ini, jadi kami cuba menggerakkan kesemua permainan-permainan komputer ini pada tetapan tertinggi (Ultra) pada resolusi Full HD 1920×1080.

Dan di dalam ujian singkat kami, kami dapati bahawa kesemua permainan-permainan ini boleh digerakkan pada resolusi lebih tinggi dari 100FPS tanpa sebarang masalah.

Yang menariknya, permainan Battlefield V yang baru dan mempunyai keperluan grafik yang sangat tinggi boleh digerakkan pada resolusi Ultra pada kadar segar semula 100-120 FPS. Malah pada babak-babak dimana banyak efek zarah seperti tembakan peluru, api dan asap, kad grafik ini masih mampu mengekalkan kadar segar semula lebih tinggi daripada 80 FPS.

Perkara yang sama sayangnya tidak boleh dikatakan untuk dua permainan lain yang kami uji. Pada permainan Wolfenstein II, walaupun kadar segar semula grafik adalah agak tinggi, isu screen tearing membelenggu permainan komputer tersebut, manakala permainan Final Fantasy XV pula kami rasa tidak dioptimasikan lagi kerana terdapat situasi dimana kadar bingkai akan turun secara mendadak, lebih rendah dari 20 FPS.

Dari segi prestasi, kad kad grafik ini juga merupakan sebuah kad grafik yang agak bising. Apabila kami menjalankan ujian penanda aras seperti 3DMark, Unigine Heaven dan sebagainya, ketiga-tiga kipas ini akan berpusing dengan kuat sekali, pada 3000RPM, dan ini menyebabkan bunyi yang cukup bising sekali.

Bunyi bising ini tidak begitu ketara apabila permainan-permainan komputer yang kami uji digunakan, kecuali pada permainan komputer Battlefield V, yang akan berpusing secara laju dan bising pada babak-babak yang penuh dengan aksi.

Penanda Aras

Dibawah adalah beberapa ujian penanda aras yang kami jalankan untuk menunjukkan kebolehan kad grafik AMD Radeon VII ini. Ujian penanda aras ini dijalankan menggunakan CPU Intel Core i7-8700 dan memori DDR4 sebanyak 16GB.

3DMark Fire Strike Ultra

 

3DMark Fire Strike Extreme

3DMark Time Spy Extreme

Final Fantasy XV (Full HD Tetapan Tinggi)

Final Fantasy XV (4K Tetapan Tinggi)

Unigine Heaven

Pemerhatian

Pada pendapat saya, kad grafik AMD Radeon VII ini hadir dengan prestasi yang cukup baik sekali, jika dilihat dari segi kebolehan menggerakkan pemainan komputer sahaja.

Sayangnya kami tidak mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 untuk membuat perbandingan yang lebih menyeluruh, manakala CPU Intel Core i7-8700 yang kami gunakan di dalam pandang pertama ini menyebabkan bottleneck kerana di dalam kebanyakan ujian-ujian ini, kami mendapati bahawa kesemua teras-teras yang hadir pada CPU tersebut digunakan pada tahap 100 peratus, dan ini menyebabkan pembantutan kepada skor yang didapati oleh kad grafik ini.

Akan tetapi, perlu kami katakan bahawa kad grafik AMD Radeon ini mempunyai isu-isunya yang tersendiri, seperti isu kipas yang berpusing dengan sangat kuat sekali seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, apabila kami menjalankan ujian penanda aras tersebut, kami pada mulanya menggunakan perisian HW Monitor untuk melihat suhu paling rendah dan tertinggi GPU Radeon VII ini.

Isu mula dilihat apabila perisian tersebut memperlihatkan suhu tertinggi pada tahap 90-100 darjah Celcius, yang membuatkan kami rasa cukup risau sekali kerana kad grafik Radeon VII tersebut tidak dilewahjam apabila ia diuji.

Ujian-ujian seperti penanda aras 3DMark dan Final Fantasy XV dijalankan beberapa kali, dan setiap kali kami mengujinya, suhu maksima Radeon VII ini dilihat berada pada tahap yang sangat tinggi.

Hanya apabila kami menggunakan perisian AMD Wattman yang terkandung di dalam perisian Radeon Software kami mendapat bacaan suhu GPU yang lebih “masuk akal”, pada tahap 60 ke 70 darjah Celcius.

Dengan kad grafik ini, AMD turut memperkenalkan sebuah bacaan suhu yang dinamakan Junction Temperature yang menyukat suhu komponen yang paling panas pada sebuah kad grafik untuk melihat samada perlukah kad grafik tersebut direndahkan kelajuannya untuk mengelak dari issue thermal throttling.

Pada pendapat saya, terdapat kemungkinan bahawa bacaan yang dibaca oleh HW Monitor ialah suhu Junction Temperature ini, dan bukannya suhu pemproses grafik. Ini mungkin akan diperbaiki tidak lama lagi apabila AMD mengeluarkan perisian kemaskini rasmi untuk kad grafik Radeon VII ini.

Secara kebiasaannya, apabila melewahjam sebuah kad grafik, saya akan menggunakan perisian MSI Afterburner. Dengan perisian kemaskini yang diberi kepada kami, Afterburner tidak boleh digunakan kerana nilai kelajuan GPU dan voltan kad grafik tidak boleh ditunjuk ataupun diubahsuai.

Sama seperti isu HW Monitor, proses lewahjam juga hanya boleh dilakukan melalui perisian Wattman sahaja buat masa ini, dan bagi saya, ia tidak fleksibel seperti perisian Afterburner.

Penutup

Dari segi prestasi sahaja, kad grafik AMD Radeon VII ini menunjukkan kebolehan untuk menggerakkan permainan komputer moden pada resolusi dan kadar segar semula yang tinggi.

Kami berharap pihak AMD akan mengeluarkan perisian kemaskini yang akan memperbaiki beberapa isu yang dilihat pada kad grafik ini, seperti bunyi kipas yang kuat, sukatan suhu yang diperbaiki dan juga prestasi grafik dari segi screen tearing dan sela-masa grafik pada beberapa permainan komputer.

Kad grafik AMD Radeon VII ini dikatakan akan hadir di pasaran pada 7 haribulan Februari di beberapa rantau pasaran, dan akan dijual pada harga asal $699 (~RM2800). Akan tetapi, terdapat beberapa laporan yang mengatakan bahawa buat masa ini, stok untuk sebuah kad grafik AMD Radeon VII ini adalah sangat terhad, malah beberapa negara di rantau Eropah hanya akan mendapat 20-30 buah kad grafik ini pada hari pelancarannya.

Ulasan penuh kami kelak akan menggunakan pandang pertama ini sebagai asas, dan akan diubahsuai untuk skor penanda aras dan akan menunjukkan kebolehan sebenar kad grafik ini tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN