Cari @ Amanz

Aplikasi pemain video sumber terbuka VLC kini berada di versi 3.06. Sejak bertahun lamanya kami menggunakan VLC kerana antaramuka yang sama pada komputer dan juga telefon mudah alih. Di acara FOSDEM yang sedang berlangsung, pembangun VLC berkongsi beberapa pembaharuan yang bakal diberikan pada versi 4.0 kelak.

Pertama sekali ialah VLC 4.0 akan menghentikan sokongan sistem operasi Windows XP, Windows Vista, macOS 10.7-10.10, iOS 7-8 dan Android 2.2-4.2. Antaramuka pemain juga akan dinaik taraf pada Windows 10, Gnome dan KDE Plasma 5. Ini adalah selepas menerima maklum balas pengguna yang merasakan antaramuka semasa sudah tidak kongruen dengan antaramuka tiga sistem operasi ini,

Dari segi fungsi pula ia akan menyokong kandungan VR/AR pada peranti realiti maya dan telefon pintar. Selain itu pada versi desktop, fungsi Media Library yang menujukkan kesemua kandungan video pada komputer akan disertakan. Selama ini ia hanya disokong pada peranti Android. Sebelum kami laporkan VLC 4 turut akan akhirnya membawakan sokongan AirPlay. Bilakah kemas kini akan diberikan belum lagi diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd