Kajian Mendapati Lebah Mempunyai Kemampuan Untuk Melakukan Matematik Asas

Kajian Mendapati Lebah Mempunyai Kemampuan Untuk Melakukan Matematik Asas

Diterbitkan pada Feb 7, 2019 oleh .

Kemampuan mengira biasanya dikaitkan dengan saiz dan kuasa otak sesebuah organisma. Penyelidik dari RMIT Australia dan University of Toulouse telah menerbitkan jurnal yang mendapati lebah mempunyai kemampuan untuk melakukan matematik asas. Lebah yang dikaji memahami konsep menambah dan menolak nilai nombor.

Ujian dilakukan dengan memasukkan lebah ke dalam corong berbentuk Y. Pada cabang utama mereka didedahkan kepada 1 hingga 5 bentuk dalam warna kuning dan biru. Warna biru mengarahkan lebah untuk +1  manakala kuning pula untuk -1. Seterusnya mereka diarahkan untuk terbang kepada jawapan yang betul. Jika jawapan betul diberikan lebah akan menerima ganjaran air gula dan jawapan yang salah pula akan menerima ganjaran air kuinin yang pahit.

Ujian dilakukan secara rawak bagi mengelakkan lebah hanya melakukan tindak balas Pavlov. Penyelidik kini mendapati lebah memang mempunyai kemampuan melakukan matematik asas. Ini meletakkannya setanding dengan beberapa spesis primat, burung dan labah-labah.

Ia juga membuka lebaran baru pemahaman sains mengenai saiz dan kuasa otak yang diperlukan untuk melakukan kira-kira. Untuk melakukan matematik asas, otak harus berkemampuan memproses pada dua tahap. Tahap pertama ialah memori jangka panjang yang memahami konsep tambah serta tolak. Tahap kedua pula ialah memori jangka pendek yang boleh memahami nombor untuk menggunakan konsep yang difahami pada tahap pertama.


TIPS & ULASAN