Cari @ Amanz

Honor Watch Magic
Skrin 1.2” AMOLED
360 x 360, 326 ppi
Chipset ARM Cortex-M4
CPU Satu teras, 32-bit
Memori 16MB RAM
Storan 128MB
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
GPS, GLONASS, GALILEO
Sistem Lite OS
Bateri 178 mAh, sehingga 7 hari
Berat & Ketebalan 46g, 9.8mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Huawei sebelum ini telah menawarkan Huawei Watch GT yang menampilkan rekaan klasik dan elegan. Ia menawarkan skrin 1.39-inci AMOLED, rekaan bulat, dan menariknya, ia mampu memberi ketahanan bateri melebihi dua minggu penggunaan. Menariknya, jam tangan terkini daripada Huawei ini tidak lagi menggunakan Wear OS (atau dahulunya Android Wear), tetapi kini telah dijana dengan platform mereka tersendiri melalui Lite OS.

Honor yang merupakan sub-jenama daripada Huawei turut membangunkan jam tangan yang serupa melalui Honor Watch Magic. Ia juga hadir dengan rekaan yang bulat, namun memfokuskan kepada rekaan berorientasikan kecergasan. Ia juga dijana dengan sistem yang sama dengan Huawei Watch GT melalui Lite OS, bermakna ia juga dijangka dapat memberi ketahanan bateri yang lama.

Tetapi apa yang menarik sekali mengenai Honor Watch Magic, harga yang ditawarkan adalah lebih murah walaupun ia berkongsi spesifikasi yang hampir sama. Honor Watch Magic ini telah ditawarkan pada harga RM599 berbanding Huawei Watch GT yang telah dijual pada harga RM999. Dengan harga yang lebih rendah ini, bolehkah Huawei Watch Magic ini menawarkan fungsi yang berbaloi kepada pengguna?

Rekabentuk

Kali pertama saya melihat rekaan jam ini, saya cukup suka dengan kombinasi warna hitam dan merahnya dalam memberi penampakan rekaan jam yang cukup sporty. Cuma saya dapati tali jam berasaskan getah ini terasa sedikit murah, yang mana ia terasa lebih memakai jam tangan yang dijual pada harga puluhan ringgit. Namun apabila dipakai di tangan, ia masih terasa selesa walaupun digunakan dalam jangka masa yang lama. Sekiranya anda kurang menyukai dengan tali jam yang didatangkan, anda masih boleh menukar tali jam ini dengan tali jam yang biasa digunakan pada jam tangan standard.

Rekaan hadapannya hadir dengan binaan berasaskan logam, namun tiada sebarang fungsi rotating dial hadir pada binaan yang membulat ini. Rekaan hadapan ini menampilkan paparan bersaiz 1.2-inci (390 x 390) bersama panel berasaskan AMOLED. Dengan penggunaan teknologi skrin ini, ia sekaligus memberi paparan cukup terang dan tajam melalui ketumpatan piksel sebanyak 326 ppi. Ia juga mudah dilihat di bawah sinaran matahari, jadi anda tidak perlu risau dengan aspek keterangan skrin jam ini.

Di bahagian belakang jam ini dibina berasaskan plastik berbanding penggunaan bahan stainless steel pada jam tangan biasa. Ia kelihatan kurang menarik, namun bahagian ini dapat ditutupi sepenuhnya apabila anda memakainya di tangan. Bahagian ini menempatkan sensor denyutan nadi bersama plate magnetik untuk proses pengecasan peranti. Selain daripada sensor denyutan nadi, ia juga membawakan sejumlah sensor utama yang lain (seperti accelerometer, gyroscope, magnetometer, barometer, dan ambient light sensor) bersama 3 sistem penjejakan satelit utama (GPS, GLONASS, dan GALILEO).

Sistem

Jam ini tidak dijana dengan Wear OS daripada Google tetapi sebaliknya dijana dengan sistem operasi tersendiri daripada Huawei iaitu Lite OS. Antaramuka dilihat menyerupai seperti Wear OS, terutama apabila dilihat dari segi paparan butang kawalan dan paparan menu utama. Namun dengan penggunaan Lite OS ini, ia tidak membenarkan anda memasang aplikasi dan muka jam tambahan seperti mana yang disokong pada sistem operasi Wear OS. Namun anda masih boleh memilih sejumlah muka jam yang menarik melalui 13 muka jam yang telah didatangkan secara terbina.

Dari segi kawalan, anda boleh menekan butang di bahagian atas ini untuk menuju ke menu atau paparan utama, dan menekan butang di bawah ini untuk mengakses fungsi kecergasan. Anda juga boleh menggunakan skrin sentuh untuk menurunkan butang kawalan dan swipe ke atas untuk melihat notifikasi. Apabila anda membuat swipe dari kiri atau kanan pada paparan utama, ia akan memaparkan info seperti denyutan nadi, suhu, maklumat kecergasan harian, serta paparan muka jam utama.

Kebolehan notifikasinya dilihat sangat asas, yang mana anda hanya boleh melihat teks sahaja tanpa sebarang kebolehan untuk membalas notifikasi tersebut. Haptic feedback atau getaran sewaktu menerima notifikasi ini juga dilihat kurang neutral dan juga terasa sedikit murah apabila dibandingkan dengan haptic feedback alat kecergasan utama yang lain. Ia juga tidak mendatangkan pembesar suara, jadi ia tidak membenarkan anda menjawab panggilan daripada jam ini.

Tetapi aspek yang cukup bersinar pada jam ini adalah fungsi kecergasannya yang membolehkan anda menjejak sejumlah aktiviti kecergasan utama. Ia boleh digunakan ketika berjalan, berlari, mendaki, berbasikal, dan juga berenang dengan memaparkan info yang cukup padat sewaktu melakukan aktiviti-aktiviti ini. Seperti contoh, sekiranya anda sedang mendaki, ia akan memaparkan info seperti elevation, altitude, barometer, dan kemudahan untuk mengakses kompas.

Beberapa fungsi lain turut hadir seperti pengesan denyutan nadi yang mana ia dapat mengesan denyutan semasa dan denyutan ketika berehat. Anda juga boleh menggunakan fungsi pemantauan tidur bagi mengenal pasti jangka masa dan corak tidur anda setiap hari. Beberapa fungsi asas lain turut tersedia seperti Stopwatch, Timer, dan Alarm untuk melengkapkan lagi fungsi di dalam peranti ini. Sekiranya anda gagal mengetahui lokasi telefon anda, anda juga boleh menggunakan fungsi Find My Phone untuk menjejak semula telefon tersebut.

Huawei Health

Aplikasi yang digunakan untuk menyambungkan jam ini adalah melalui penggunaan aplikasi Huawei Health. Apa yang menarik, penyambungan jam ini tidak terhad kepada peranti Android sahaja tetapi turut boleh digunakan pada peranti iOS. Melalui aplikasi ini, anda boleh melihat info terkini mengenai aktiviti kecergasan anda selain dapat menguruskan notifikasi yang diterima ke jam.

Bercakap mengenai penyambungan aplikasi luaran, ia hanya menyokong dua aplikasi sahaja (sewaktu artikel ini dibuat) iaitu Google Fit dan MyFitnessPal. Bermakna, anda tidak boleh menyambungkannya ke Strava, Nike Run, Runtastic atau aplikasi kercergasan yang lain buat masa ini. Dengan kemudahan ini, ia membolehkan data daripada jam ini diselarikan kepada aplikasi-aplikasi kecergasan pilihan pengguna.

Bateri

Dari segi baterinya, ia mampu mencapai penggunaan sekitar 5-6 hari apabila digunakan dalam mod penjejakan normal tanpa pengaktifkan mod sukan. Namun apabila anda mengaktifkan mod suka ini secara berkala, ia dapat bertahan sekitar 2-4 yang mana masih baikuntuk sebuah jam tangan kecergasan dengan sokongan GPS. Dari segi pengecasannya, jam tangan ini dapat dicas penuh di bawah jam melalui pengecas magnetik yang disambungkan melalui sambungan USB-C.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Honor Watch Magic ini boleh dikatakan berdiri sebagai sebuah alat kecergasan pintar di dalam bentuk jam tangan. Ia tidak dipanggil sebagai jam tangan pintar kerana ia tidak menyokong pemasangan aplikasi seperti yang sedia ditawarkan pada Wear OS. Bermakna, anda perlu bergantung kepada aplikasi-aplikasi terbina yang mana keseluruhan besarnya memfokuskan kepada kegunaan kecergasan.

Dari segi kekurangan, fungsinya dilihat sangat terhad dalam menjadikannya sebagai alat kecergasan yang menyeronokkan. Ia tidak menampilkan sebarang fungsi memain/mengawal muzik, tiada sokongan aplikasi kecergasan pihak ketiga, dan tiada sebarang fungsi navigasi. Sokongan notifikasinya juga dilihat kurang memuaskan, dengan isyarat getaran yang lemah disamping tidak mendatangkan fungsi membalas notifikasi yang hadir. Material yang digunakan pada tali jam juga dilihat kurang menarik, namun anda masih boleh menukarkannya ke tali jam lain.

Pro
  • Menawarkan rekaan jam yang menarik.
  • Mempunyai skrin 1.2-inci berasaskan AMOLED.
  • Hadir dengan sokongan GPS dan sensor menyeluruh.
  • Pengecasan berasaskan magnetik.
  • Tali jam boleh ditukar kepada tali jam tangan biasa.
  • Menawarkan ketahanan bateri yang lama.
Kontra
  • Lite OS tidak menyokong pemasangan aplikasi.
  • Tiada sebarang fungsi kawalan dan memainkan muzik.
  • Notifikasi yang diterima tidak boleh dibalas melalui jam.
  • Isyarat getaran terasa lemah.
  • Binaan tali jam yang terasa sedikit murah.

Namun dengan harga RM599, ia masih sebuah alat kecergasan yang baik dengan paparan AMOLED, sokongan GPS, dan sensor yang menyeluruh. Tetapi aspek yang cukup saya suka dengan jam adalah ketahanan baterinya yang dapat bertahan melebihi 5 hari. Bagi saya, ia sangat disyorkan kepada pengguna yang mahukan sebuah alat kecergasan yang mempunyai rekaan yang menarik, hadir dengan sokongan GPS, dan dapat memberi ketahanan bateri yang lama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd