Sebelum ini, kita telah mendengar beberapa desas-desus dan laporan mengatakan iPhone 2019 akan hadir dengan sokongan USB-C – lebih kurang sama seperti apa yang dilakukan Apple pada iPad terbaru mereka.
Walaubagaimanapun, kini, berbeza dengan laporan berkenaan, laman terkemuka Jepun, Macotakara mengatakan Apple akan kekalk menggunakan sambungan Lightning pada iPhone keluaran tahun ini.
Ia turut dikatakan Apple akan mengekalkan pengecas 5W yang sama seperti sekarang dalam kotak pembelian iPhone – dan bukannya pengecas lebih pantas. Berkemungkinan dengan langkah ini, Apple boleh mempromosikan pengecas nirwayar 7.5W menawarkan kepantasan lebih laju berbanding mengecas menggunakan wayar – sekaligus mempromosikan lagi penggunaan pengecasan secara nirwayar.
Pada masa yang sama, langkah ini dikatakan akan menguntungkan Apple dari segi kos pengeluaran, selain turut membolehkan sejumlah aksesori sedia ada hanya digunakan secara eksklusif pada iPhone.
Seperti biasa, ini boleh dikatakan masih pada peringkat awal lagi. Apple biasanya mengeluarkan iPhone terbaru sekitar September – maka kita mungkin mendengar beberapa laporan lain lagi sebelum pihak Apple membuat keputusan akhir mereka.