Cari @ Amanz

Sony Xperia XA3 Ultra dan Xperia XA23 ialah dua dari tiga peranti Sony yang akan dilengkapi skrin memanjang bernisbah 21:9. Sebelum ini hanya imej pengolokan berdasarkan lukisan CAD peranti ini tertiris. Hari ini imej pengolokan rasmi dari pelbagai sudut pula akhirnya tertiris dengan tarikh pelancarannya yang semakin hampir.

 Sony Xperia XA3 dipercayai akan dilengkapi skrin 6.5″, dijana cip Snapdragon 660, memori sehingga 6GB RAM dan storan sehingga 128GB. Menarik sekali ialah kedua-dua peranti masih mempunyai dahi yang agak besar untuk meletakkan gagang telinga dan kamera swafoto. Turut yang kami rasakan aneh ialah pada bahagian sisi terdapat tiga butang. Satu adalah butang kawalan suara, satu pengimbas cap jari yang besar dan butang ketiga. Butang ketiga ini mungkin adalah butang khusus untuk melancarkan pembantu maya Google Assistant.

Masih terdapat bicu audio pada bahagian atas serta pemancar infra merah. Pada bahagian bawah terdapat dua lohong udara untuk pembesar suara serta port pengecasan USB-C. Akhir sekali pada sisi kiri terdapat pintu untuk talam SIM serta kad mikro SD. Di dalam pasaran yang dipenuhi peranti dengan rekaan pelanduk dua serupa, rekaan Xperia XA3 dan XA3 Ultra ini adalah berbeza dan sebenarnya menarik perhatian. Ia merealisasikan meme telefon pintar yang semakin memanjang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd