Samsung di Vietnam hari ini telah menerbitkan beberapa video acah untuk telefon pintar Galaxy S10 akan datang. Menariknya, salah satu daripadanya memperlihatkan sokongan rakaman video pada resolusi 4K melalui kamera hadapan.
Kamera hadapan juga dijangka menawarkan sokongan penstabilan imej optikal bersama-sama dengannya – sekaligus membolehkan anda merakamkan video dengan lebih baik menggunakannya.
Penggunaan kamera hadapan semakin popular akhir-akhir ini untuk rakaman video – apatah lagi dengan aplikasi dan format kandungan “Stories” yang semakin popular dikalangan pengguna. Aplikasi seperti Instagram, WhatsApp, Facebook, TikTok dan sebagainya menggunakan kamera hadapan dengan aktif – selain aplikasi untuk panggilan video.
Kehadiran video acah terbaru ini juga selari dengan ketirisan yang telah dilaporkan awal ini mengatakan Galaxy S10 akan hadir dengan kamera swafoto UHD bersama-sama dengannya.
Samsung akan memperkenalkan Galaxy S10 secara rasminya pada 21 Februari ini, dimana kita akan mendengar lanjut mengenai ciri ini pada acara berkenaan kelak.