Google dan Apple adalah dua syarikat teknologi dengan nilai syarikat yang tertinggi pada tahun 2018. Kedua-duanya bersaing di antara satu sama lain tetapi masih mempunyai hubungan simbiosis dalam melakukan perniagaan. Menurut penganalisa di Goldman Sachs, tahun lalu Google dianggarkan membayar Apple $9.5 bilion (~RM 38.6 bilion) kepada Apple untuk kekal sebagai enjin carian pada peranti iOS.
Ini adalah lebih dari tiga kali ganda bayaran yang dilakukan pada tahun 2017 dan sembilan kali ganda bayaran yang dilakukan pada tahun 2014. Google memerlukan Apple untuk menjana trafik menerusi perkhidmatan carian mereka. Kerana pergantungan ini mereka sanggup membayar nilai yang tinggi untuk terus kekal sebagai enjin carian utama. Ini bermakna jika Microsoft ingin Bing menggantikan Google pada peranti iOS, mereka harus berbelanja lebih tinggi dan menyumbang kepada keuntungan pesaing.