FujiFilm X-T30 Kini Rasmi Dengan Sensor 26.1-Megapixel

FujiFilm X-T30 Kini Rasmi Dengan Sensor 26.1-Megapixel

Diterbitkan pada Feb 14, 2019 oleh .

Sebelum ini rekaan FujiFilm X-T30 telah tertiris ke arena web. Hari ini kamera nircermin ini akhirnya diumumkan secara rasmi. FujiFilm X-T30 hadir dengan sensor sebesar 26.1-Megapixel APS-C X-Trans CMOS 4. Ini adalah peningkatan berbanding sensor 24.3-Megapixel pada X-T20 dua tahun yang lalu.

Kamera dilengkapi pemproses imej X-Processor empat teras baharu dan dengan julat ISO 160-12800. Ia boleh merakam gambar pada tetapan tertinggi 30 bingkai sesaat atau 8 bingkai sesaat jika shutter mekanikal digunakan. Kemampuan merakam video pula ialah 4K 30FPS atau 1080P 120FPS.

Sebuah skrin sesentuh 3″ dengan 1.04 juta titik disertakan dan ia boleh disendengkan. Viewfinder pula ialah skrin OLED sebesar 0.39″ dengan 2.36 juta titik.  Ia turut menyokong kad SDXC. Pemindahan gambar boleh dilakukan menggunakan WiFi, bluetooth 4.2 dan sambungan kabel USB-C. Port USB-C ini juga merangkap port fon telinga kerana bicu audio 3.5mm tidak lagi disertakan. Bateri Li-ion NP-W126S berkapasiti 1260 mAh digunakan. Ini memberikan kemampuan menangkap 380 gambar atau rakaman video selama 45 minit.

Fujifilm X-T30 akan mula dijual Mac hadapan pada harga $899 (~RM 3656) tanpa lensa dan $999 (~RM 4063) dengan lensa XC 15-45mm f/3.5-5.6.


TIPS & ULASAN