Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menganjurkan sidang, Kuala Lumpur Digital Content Anti-Piracy Summit di Putrajaya hari ini. Melaluinya, sejumlah perkara telah dibincangkan, terutamanya berkaitan dengan permasalahan hak cipta dan pelanggaran pemilikan harta intelek oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.
Menurut SKMM, hanya sekitar 4 peratus dari jumlah pengguna internet dan media di Malaysia yang melanggan kandungan digital di saluran yang sah dan berdaftar. Manakala, peratus pengguna selebihnya melayari dan memuat-turun video dan maklumat melalui laman cetak rompak. Kesan dari aktiviti cetak rompak digital ini telah menyebabkan kerugian pendapatan dalam industri Malaysia sejumlah RM1.05 billion dan kerugian cukai kerajaan sebanyak RM 157 juta pada tahun 2016.
Ia juga dilaporkan bahawa seramai 1900 orang kehilangan pekerjaan di dalam industri perfileman dan penyiaran gara-gara aktiviti memuat turun media cetak rompak ini.
Dengan kerjasama SKMM bersama-sama Coalition Against Piracy (CAP) dan Asia Video Industry Association (AVIA) serta beberapa badan agensi lain, mereka berharap agar masalah cetak rompak digital ini dapat dibendung. Pengerusi MCMC, Encik Al-Ishsal turut menyatakan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut akan memberi bantuan dari segi teknikal dalam menghalang akses kepada laman web yang menyalahi Akta Hak Cipta 1987.
SKMM turut menyatakan hasrat agar semua pihak tidak memandang ringan isu dalam memerangi cetak rompak digital ini. Setiap individu harus memainkan peranan mereka dalam memberi kesedaran kepada pengguna untuk menjaga hasil hak cipta dan pemilikan harta intelek orang lain.