Peranti mercu LG G8 ThinQ akan dilancarkan di acara MWC Barcelona beberapa minggu sahaja lagi. Mereka telahpun berkongsi maklumat mengenai sistem imbasan wajah pada bahagian hadapan yang menggunakan kamera TOF. Hari ini mereka mendedahkan peranti ini akan dilengkapi sistem pembesar suara terbina dalam skrin.
Sistem Crystal Sound OLED ini menggunakan permukaan skrin sebagai diafragma pembesar suara. Apabila dipadankan dengan pembesar suara pada bahagian bawah peranti, kualiti audio yang baik dapat dihasilkan menurut LG. Sistem audio DTS:X 3D Surround Sound disokong bagi memberikan audio 7.1 saluran yang boleh dinikmati tanpa menggunakan fon telinga. Peranti turut mengekalkan sokongan Hi-Fi Quad DAC, MQA dan Boombox Speaker yang menggunakan permukaan meja sebagai sebahagian sistem audio.
Sebelum ini teknologi skrin sebagai pembesar suara hanya digunakan pada televisyen keluaran mereka. Selain LG, Samsung turut telah memperlihat sistem Sound on Display dan Sony pula menggunakannya pada televisyen pintar mereka.