Vivo pada tahun lalu telah hadir dengan Vivo V11 (atau Vivo V11 Pro untuk pasaran antarabangsa) iaitu peranti kelas pertengahan dengan penawaran fungsi premium. Ia membawakan rekaan yang menarik, cip pemprosesan yang pantas, bersama penggunaan skrin AMOLED. Tetapi apa yang menarik, ia juga membawakan fungsi pengimbas cap jari di bawah skrin iaitu fungsi yang ditawarkan pada peranti yang lebih mahal seperti Vivo NEX dan OPPO R17 Pro.
Tahun ini mereka telah melangkaui angka “13” dan meneruskan siri Vivo V ini melalui Vivo V15 Pro. Ia mengekalkan sejumlah fungsi yang ada pada Vivo V11 namun ditambahbaik dari segi rekaan, cip pemprosesan, dan keupayaan kamera. Apa yang menarik, ia telah membawa bahagian kamera yang boleh dikeluarkan bagi menjayakan rekaan skrin penuh tanpa takuk. Pada pandangan awal, peranti ini boleh dikatakan mirip seperti Vivo NEX pada luaran, namun dalamannya, ia hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan.
Saya berkesempatan untuk mencuba peranti ini dalam tempoh masa yang terhad, jadi ada beberapa perkara yang saya tidak berpeluang untuk mencubanya dengan lebih lanjut. Namun seperti biasa, ulasan yang lebih terperinci akan hadir selepas peranti ini dilancarkan di Malaysia.
Rekaan bahagian belakang peranti ini mempunyai kemasan warna cerun – hasil gabungan dua warna berbeza iaitu biru pekat dan biru cair. Ia kelihatan mirip seperti kemasan pada Vivo V11, namun ia tidak menampilkan hiasan berbentuk bintik bintik di bahagian belakang ini. Binaannya diperbuat daripada polikarbonat, namun ia tidak menampilkan rasa peranti “murah” apabila anda memegang dan melihatnya. Binaan sisinya masih diperbuat daripada logam dalam menampilkan binaan peranti yang kukuh.
Berbeza dengan Vivo V11, rekaan Vivo V15 Pro menampilkan susunan tiga kamera baru yang kini kelihatan lebih unik. Rekaan kamera ini tidak lagi “terinspirasi” daripada rekaan iPhone X, tetapi sebaliknya, ia disusun dengan rapi sehingga “menyentuh” rekaan di bahagian atas peranti. Rekaan kamera ini walaubagaimanapun agak sedikit tersembul keluar untuk memberi ruang kepada perletakkan sensor kamera.
Rekaan di bahagian kanan peranti menempatkan sejumlah butang standard, seperti butang pelarasan suara dan butang kuasa yang sangat mudah untuk dicapai. Di bahagian kirinya, ia menempatkan slot kad mikroSD bersama butang pembantu maya untuk mengaktifkan Google Assistant. Butang pembantu maya ini tidak diberikan kebolehan untuk pertukaran fungsi, namun pastinya ia boleh diubah melalui penggunaan aplikasi pihak ketiga.
Di bahagian atasnya pula terdapat bahagian kamera yang boleh dikeluarkan, bersama-sama dengan sambungan bicu audio 3.5mm untuk memudahkan penyambungan aksesori berasaskan audio. Di bawahnya terdapat slot dwi-sim, mikro-USB, dan pembesar suara berasaskan mono. Saya cukup menyukai dengan slot kad mikroSD yang ditempatkan secara berasingan berbanding slot sim hibrid, namun agak kecewa dengan pengekalan sambungan mikro-USB ini. Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan yang wujud pada tahun 2019, ia sepatutnya sudah digantikan dengan sambungan USB-C dalam memudahkan penyambungan kabel pada mana-mana arah.
Vivo V15 Pro dilihat telah dijana dengan sistem operasi Android terkini melalui penggunaan Android 9.0 Pie. Antaramukanya masih digalas oleh FunTouch OS, dengan menampilkan sejumlah antaramuka yang ceria bersama kebolehan tema yang boleh dimuat-turun. Antaramuka ini banyak mengambil inspirasi daripada rekaan iOS, terutama dilihat pada fungsi Control Centre yang perlu dikeluarkan dari bahagian bawah skrin. Namun secara keseluruhannya, iterasi FunTouch OS terkini telah menyajikan tampilan yang lebih kemas untuk menepati piawaian rekaan pada masa kini.
Cip yang digunakan masih tidak dinyatakan secara rasmi, namun melalui info yang tertiris, ia bakal dijana dengan cip kelas pertengahan terkini daripada Qualcomm. Cip ini bakal membawa prestasi yang lebih pantas berbanding cip Snapdragon 660 pada Vivo V11, yang semestinya dapat memberi pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Melalui percubaan awal saya, membuka dan membuat pertukaran aplikasi dapat dilakukan dengan pantas tanpa sebarang penampakan isu lengah masa.
Bercakap mengenai kamera, ia menyajikan sistem tri-kamera baru, dengan penawaran fungsi penggambaran biasa, ultra-lebar, dan kebolehan mengambil gambar potret dengan kesan kabur. Sistem ini boleh dikatakan menyerupai seperti Samsung Galaxy A7 (2018), namun Vivo V15 Pro menyajikan kualiti penggambaran yang lebih berkuasa. Dari padangan awal, keperincian imejnya dilihat sangat baik dengan memberi kualiti yang tajam apabila diteliti. Keupayaan dynamic range pada kameranya juga telah menerima penambahbaikan, yang kini dapat memberi hasilan subjek yang lebih jelas.
Satu aspek yang menjadi perhatian adalah dari segi kamera hadapannya yang boleh disorokkan. Kamera ini boleh dinaikkan secara automatik sebaik sahaja anda membuka mod penggambaran diri pada aplikasi kamera. Apabila saya mencubanya, saya cukup kagum dengan kualitinya, yang kini memberi hasil wajah yang lebih terperinci. Bahagian kulit dapat dilihat dengan lebih jelas, selain dapat memberi hasilan warna yang lebih menarik. Cuma saya dapati kesan pencantikkan wajah masih ada, walaupun sebarang fungsi beautification telah dimatikan secara sepenuhnya.
Beberapa fungsi menarik turut hadir untuk kegunaan pengguna seperti sokongan Night Mode untuk membolehkan anda mengambil gambar malam dengan lebih terang. Anda juga boleh menggunakan fungsi AI Beauty untuk mengubah rupa wajah anda secara maya. Bagi menceriakan lagi gambar anda, anda juga boleh bermain dengan AR Stickers yang menyajikan sejumlah pelekat animasi menarik untuk dipadankan pada gambar.
Ketahanan bateri pada Vivo V11 sebelum ini boleh dikatakan agak baik yang mana mampu menawarkan penggunaan sepanjang hari melalui kapasiti 3400 mAh. Vivo V15 Pro juga dijangka akan menerima ketahanan bateri yang serupa sekaligus membolehkan pengguna mendapat penggunaan peranti yang lama secara seharian. Vivo V11 juga menyokong pengecasan 18W, jadi masa pengecasan peranti Vivo V15 Pro juga dijangka dapat dicas dalam masa singkat.
Pada padangan awal saya, Vivo V15 Pro ini membawa penawaran yang cukup menarik terutama dari segi rekaannya. Ia kelihatan cukup moden dan futuristik kerana ia tidak menampilkan sebarang takuk di hadapan. Dengan rekaan kamera yang boleh diluncurkan, ia seolah-olah peranti yang direka dengan masa hadapan, dengan sajian bunyi yang menarik ketika bahagian ini dinaikkan.
Penawaran fungsinya juga dilihat seimbang seperti kehadiran prestasi yang pantas untuk menggalas keperluan harian pengguna. Tetapi apa yang paling menarik, sistem tri-kameranya dilihat menyajikan keupayaan yang baik, dengan membolehkan pengguna mengambil gambar biasa, ultra-lebar, dan gambar potret. Keupayaan kamera hadapannya juga dilihat tajam, bersama kebolehan untuk mengubah wajah secara maya melalui fungsi AI Beauty yang didatangkan secara terbina.
Vivo V15 Pro masih tidak dinyatakan sebarang harga jualannya, namun anda boleh menjangkakan ia berada pada harga sekitar Vivo V11 sewaktu dilancarkan – RM1699. Tarikh pelancarannya juga masih tidak diumumkan, namun pengguna boleh membuat pra-tempahan Vivo V15 Pro ini bermula 26 Februari.