Cari @ Amanz

Negara di hemisfera utara kini sedang mengalami musim sejuk. Hanya beberapa minggu sahaja yang lalu kitaran polar menyebabkan suhu menjunam dengan mendadak mengakibatkan kematian manusia dan juga haiwan. Satu masalah dunia pertama yang kerap kami lihat ialah haiwan yang ditinggalkan di dalam kereta ketika membeli belah. Ini turut boleh mengakibatkan kematian kerana suhu panas atau sejuk melampau.

Tesla semalam mengaktifkan dua mod baharu pada kenderaan mereka. Mod anjing membolehkan haiwan peliharaan ditinggalkan di dalam kereta ketika pemilik membeli belah. Suhu di dalam kabin kenderaan akan dipantau dengan sistem penyejuk atau pemanas sentiasa aktif. Pada skrin LCD kenderaan, suhu serta mesej yang mengatakan anjing di dalam kenderaan adalah selamat akan dipaparkan bagi mengelakkan kerisauan orang ramai yang lalu lalang.

Mod Sentry turut diaktifkan. Ia meletakkan kenderaan dalam keadaan berjaya-jaya. Apabila ia mengesan pergerakan individu yang mencurigakan, notifikasi akan dihantar kepada pemilik. Apabila cermin dipecahkan, ia akan mula merakam video dari segala sudut dan membunyikan penggera serta sistem audio pada tetapan paling kuat.

Kemas kini akan diterima pemilik Model 3 di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum diberikan kepada Model S dan Model X yang dihasilkan selepas Ogos 2017. Mod anjing baharu ini mungkin direka untuk anjing tetapi turut boleh digunakan pada haiwan peliharaan lain dan anak kecil. Ia dapat mengelakkan tragedi anak kecil mati kepanasan yang kerap berlaku tahun lalu di negara kita.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd