Carian
55% Aplikasi Ditolak Dan 66% Aplikasi Digantung Di Play Store Sepanjang Tahun 2018
February 15, 2019 Fahim Zahar

Tahun lepas, 13 aplikasi hasad yang menyamar sebagai permua telah dibuang oleh Google di Play Store. Kemudian, 23 aplikasi yang menghabiskan bateri peranti turut dibuang dan aplikasi-aplikasi yang mengakses log SMS dan panggilan akan Google buang bagi menjaga privasi dan sekuriti.

Terkini, Google telah kongsikan cara serta rancangan mereka bagi melindungi pengguna daripada aplikasi-aplikasi hasad atau aplikasi-aplikasi yang memberi impak negatif kepada peranti pengguna. Pada tahun 2017, Google telah hadir dengan Google Play Protect untuk membantu melindungi peranti pengguna. Menariknya, Play Protect ini turut berfungsi jika pengguna memasang fail .APK dan Google menggunakan pembelajaran mesin untuk membasmi aplikasi-aplikasi hasad ni.

Sepanjang tahun 2018, sebanyak 55% aplikasi yang diterbit pembangun telah dibuang oleh Google. Kemudian, sebanyak 66% aplikasi yang telah digantung. Jumlah peratusan ini dikatakan telah meningkat daripada jumlah tahun sebelumnya. Rancangan Google bertindak sedemikian akan diteruskan lagi pada tahun ini untuk terus melindungi privasi pengguna.

Mengejutkan, sebanyak 80% pembangun telah melanggar polisi Google dan telah pun dihalang. Namun, pembangun-pembangun ini tetap aktif dengan membuka akaun baru dan/atau membeli akaun palsu di pasar gelap untuk teruskan agenda mereka. Google telah menggunakan teknologi padanan akaun yang menggabungkan tenaga kerja manusia dan pembelajaran mesin untuk teruskan menghalang pembangun-pembangun bermasalah ini.

Walaupun Google telah berusaha untuk membasmi segala aplikasi hasad dan menghalang semua pembangun ‘jahat’ ini, mereka pasti akan kembali. Jadi, Google tidak akan mengalah dan teruskan usaha mereka untuk memastikan keselamatan dan menjaga privasi pengguna.

Komen